Salah satu masalah yang sering dialami oleh kebanyakan ibu mengandung adalah isu berkaitan dengan kaki bengkak ketika hamil. Walaupun ia adalah normal, namun keadaan tersebut boleh menimbulkan keresahan di hati disebabkan ketidakselesaan yang dialami.

Memahami punca dan cara terbaik untuk merawat kaki bengkak ketika hamil, sudah tentu akan membantu para ibu mengandung untuk mengekalkan keselesaan sebaiknya dan sewajarnya sepanjang tempoh kehamilan.

Memahami Punca Kaki Bengkak Ketika Hamil

Secara umumnya, terdapat tiga sebab utama wanita hamil berdepan masalah kaki yang bengkak1, iaitu:

  • Sepanjang tempoh kehamilan, tubuh akan menghasilkan lebih banyak darah daripada biasa untuk membantu tumbesaran bayi dalam kandungan
  • Semasa bayi membesar dalam kandungan, rahim akan menekan dan menyekat urat yang mengembalikan darah daripada kaki ke jantung
  • Perubahan hormon pada ibu mengandung menjadikan dinding urat lebih lembut, sekali gus menjejaskan fungsinya

Disebabkan ketiga-tiga punca ini, darah dalam tubuh cenderung untuk berkumpul pada kaki dan di situ, sejumlah kecil darah mengalir ke dalam tisu melalui saluran darah kecil dan menyebabkan masalah bengkak kaki ketika hamil.

Selain itu, terdapat beberapa faktor yang turut menyumbang kepada masalah pembengkakan kaki ini, seperti6:

  • Cuaca panas
  • Ketidakseimbangan diet pemakanan
  • Pengambilan kafein
  • Kurang pengambilan air setiap hari
  • Berdiri dalam jangka masa yang lama

Tip Mengurangkan Bengkak Kaki Ketika Hamil

Sudah pasti ibu mengandung yang dibelenggu dengan masalah bengkak kaki ketika hamil ingin mengetahui cara yang terbaik untuk mengatasi masalah ini.

Terdapat beberapa perkara mudah yang boleh diambil supaya anda berasa lebih selesa, dan sekali gus mencegah daripada berlakunya pembengkakan pada kaki. Antara cadangan anda boleh cuba di rumah adalah seperti berikut:

#1. Perbanyakkan pengambilan protein, garam dan nutrien penting4

Semasa trimester ketiga, wanita hamil biasanya akan membawa sehingga 9 (sembilan) liter cecair tambahan di dalam badan dan ia adalah satu jumlah yang banyak!

Pengambilan nutrien dan mineral penting memainkan peranan yang besar dalam membantu tubuh memproses semua cecair tambahan tersebut. Oleh itu, makanan yang mengandungi banyak garam seperti makanan diproses perlu dielakkan.

Selain itu, pengambilan makanan berprotein seperti susu untuk ibu hamil juga amat penting bagi melancarkan proses kehamilan. Susu terbaik khas untuk para ibu hamil adalah susu yang mengandungi DHA, Kolina, Asid Folik, Protein dan Kalsium yang tinggi. Susu rendah lemak juga amat disarankan kepada ibu hamil kerana ia boleh membantu pengurusan berat badan.

#2. Pengambilan makanan tinggi kalium5, antara cara hilangkan kaki bengkak ketika hamil

Anda boleh cuba untuk mengurangkan bengkak kaki semasa berbadan dua dengan memasukan makanan yang mempunyai kalium tinggi dalam diet pemakanan harian anda.

Kekurangan kalium dalam badan boleh menyebabkan berlakunya pembendungan air dan tekanan darah tinggi. Ini kerana, ia adalah mineral penting yang membantu mengekalkan nisbah antara garam dan air di dalam tubuh. Antara makanan kaya dengan kandungan kalium adalah seperti ubi keledek, ikan salmon, pisang dan kacang pistachio.

#3. Kurangkan berdiri3

Wanita yang sedang hamil disarankan untuk mengelak daripada berdiri terlalu lama. Sekiranya anda perlu berdiri dalam jangka masa yang lama, cubalah bergerak dan menukar kedudukan dengan kerap.

Sebolehnya ketika duduk, posisi kaki anda perlu ditinggikan sedikit. Sekali sekala, luruskan kaki untuk meregangkan otot betis secara perlahan-lahan.

Sertai Enfamama A+ Club sekarang untuk mendapatkan lebih banyak tip, sampel PERCUMA selain beberapa manfaat menarik lain! Klik di sini.

#4. Tinggikan bahagian kaki4

Berdiri terlalu lama akan memberikan tekanan berlebihan pada kaki, sekali gus menjadikan masalah bengkak kaki ketika hamil semakin teruk.

Sekiranya ini berlaku, apabila anda berehat, letakkan kaki di atas bantal atau tempat rehat kaki untuk meninggikan bahagian kaki anda. Lakukan proses ini selama 20 minit, 3 hingga 4 kali sehari. Ia pasti akan dapat membantu melegakan bengkak di bahagian bawah kaki.

#5. Kaki bengkak ketika hamil dapat diatasi dengan posisi tidur mengiring3

Posisi tidur ibu mengandung juga memainkan peranan penting bagi memastikan keselesaan para ibu. Sebaiknya, anda digalakkan untuk tidur mengiring ke sebelah kiri. Ia bertujuan untuk menghilangkan tekanan pada urat besar yang mengembalikan darah daripada bahagian bawah badan ke jantung - inferior vena cava3.

Di samping itu, anda juga boleh mengurangkan masalah pembengkakan pada kaki dengan meletakkan bantal sebagai pelapik bagi meninggikan bahagian kaki.

#6. Stoking mampatan3

Untuk mengurangkan bengkak kaki, doktor mungkin akan menasihatkan para ibu mengandung untuk memakai seluar atau stoking mampatan pada siang hari. Ia dapat membantu aliran darah kembali ke jantung dan seterusnya memberikan kelegaan pada kaki si ibu.

#7. Aktif secara fizikal3

Seorang wanita yang sedang berbadan dua amat digalakkan untuk melakukan aktiviti fizikal secara berkala setiap hari. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah seperti berjalan kaki, mengayuh basikal pegun atau berenang di kolam.

Sekiranya anda tidak pasti aktiviti senaman yang bersesuaian dengan keadaan diri, lakukan rundingan bersama doktor untuk lebih kepastian.

#8. Berjalan atau berdiri dalam kolam3

Walaupun tidak banyak penyelidikan mengesahkan bahawa penggunaan tekanan air dapat membantu mengurangkan pembengkakan pada kaki dan pergelangan kaki, berjalan atau sekadar berdiri di dalam kolam air nampak membantu memampatkan tisu pada kaki dan dapat memberikan kelegaan sementara apabila mengalami masalah bengkak.

Jadi, kaedah ini juga boleh digunakan bagi mengurangkan bengkak kaki ketika hamil.

#9. Pakaian longgar2 bantu cegah kaki bengkak ketika hamil

Pakailah pakaian yang longgar kerana baju yang ketat boleh menyekat aliran darah. Elakkan daripada memakai stokin yang terlalu ketat pada bahagian pergelangan kaki atau betis.

#10. Urutan kaki3

Urutan kaki dan refleksologi juga dapat membantu mengurangkan bengkak kaki dan gejala yang berkaitan dengan masalah kaki bengkak ketika hamil. Anda dinasihatkan supaya memilih pakar urut yang mahir dan berpengetahuan tinggi.

Urutan dipercayai dapat memberikan kelegaan pada kaki yang bengkak kerana ia berpotensi untuk melancarkan sistem peredaran darah, mengalihkan cecair limfatik yang bertakung dan merangsang sistem imun.3

Sentiasa Menjaga Diri

Semoga panduan dikongsikan di atas dapat membantu ibu-ibu mengatasi masalah kaki bengkak ketika hamil dan secara langsung mengurangkan ketidakselesaan yang dialami. Berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan nasihat lanjut mengenai masalah kesihatan anda.

Walaupun masalah bengkak kaki ketika hamil yang dialami mengganggu aktiviti harian, pastikan para ibu diingatkan supaya minum air dengan secukupnya. Menjaga jumlah pengambilan cecair harian amat penting untuk mengelakkan dehidrasi dan tetap berada dalam keadaan sihat.

 


Rujukan:
1. Swelling during pregnancy. https://www.pregnancybirthbaby.org.au/swelling-during-pregnancy, Accessed on Feb 21, 2022
2. Swollen ankles, feet and fingers in pregnancy. https://www.nhs.uk/pregnancy/related-conditions/common-symptoms/swollen-ankles-feet-and-fingers/#, Accessed on Feb 21, 2022
3. What causes ankle swelling during pregnancy — and what can I do about it? https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/pregnancy-week-by-week/expert-answers/swelling-during-pregnancy/faq-20058467, Accessed on Feb 21, 2022
4. 7 Natural Ways to Reduce Swelling in Your Feet While Pregnant. https://rmccares.org/2020/07/02/7-natural-ways-to-reduce-swelling-in-your-feet-while-pregnant/, Accessed on Feb 21, 2022
5. Swelling in the Third Trimester: What's Normal, When to Worry, What to Do. https://www.lamaze.org/Giving-Birth-with-Confidence/GBWC-Post/swelling-in-the-third-trimester-whats-normal-when-to-worry-what-to-do, Accessed on Feb 21, 2022