Terasa Sembap? Fahami apa punca kesembapan semasa hamil dan 6 langkah untuk mengatasinya.

Sedikit sembap atau bengkak adalah ketidakselesaan yang biasa dialami ibu mengandung, terutamanya pada buku lali, kaki dan tangan. Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diperhatikan serta beberapa cara mudah untuk mengurangkan kesembapan.

Bengkak Semasa Mengandung

Anda rasa sembap lebih daripada biasa? Bengkak semasa hamil ialah perkara biasa. Tangan, kaki dan juga muka anda mungkin mengalaminya, tetapi lebih kerap berlaku pada bahagian kaki dan buku lali. Walaupun keadaan ini boleh berlaku pada bila-bila masa, kesembapan paling ketara mulai bulan kelima dan boleh meningkat pada trimester ketiga.

Rasa sembap atau bengkak yang biasa dialami semasa hamil (juga dinamakan edema) disebabkan oleh kira-kira 50% darah dan bendalir tambahan yang dihasilkan oleh badan anda untuk memenuhi keperluan bayi dalam kandungan yang sedang membesar. Pembendungan bendalir ini membantu badan anda ‘membesar’ seiring tumbesaran bayi dalam kandungan dan biasanya hilang selepas bersalin. Anda boleh mengambil langkah-langkah berikut untuk mengurangkan gejala ini.

Ketahui risiko bengkak

Pelbagai faktor boleh mempengaruhi kesembapan yang anda rasai. Apa yang menjadikannya lebih teruk?

  • Suhu tinggi
  • Terlalu lama berdiri
  • Kekurangan kalium
  • Terlalu banyak kafein
  • Terlalu banyak natrium

Kurangkan bengkak semasa hamil menerusi diet anda

Oleh kerana faktor risiko diet di atas, memang bijak untuk mengehadkan kafein dan mengelakkan pengambilan garam tambahan dalam diet anda.

Tidur mengiring

Cuba tidur mengiring di sebelah kiri. Jika anda tidur terlentang, bahagian uterus yang besar mungkin memberi tekanan terhadap vena kava, iaitu vena yang bertanggungjawab untuk memindahkan darah dari bahagian bawah anggota ke jantung anda. Ini menyebabkan bengkak pada bahagian anggota bawah.

Tidur mengiring terlalu lama mungkin menyebabkan ketidakselesaan. Untuk mengatasi ketidakselesaan, gunakan bantal sebagai alas! Anda boleh meletakkan bantal di antara lutut atau gunakannya untuk menyokong kaki kanan anda. Ini akan memastikan pinggang anda sejajar sambil mengurangkan sebarang kemungkinan sakit belakang. Anda juga boleh mendapatkan bantal berbentuk C, berbentuk U atau berbentuk kacang.

Lebihkan, bukan kurangkan minum

Minum air boleh ‘membersihkan’ sistem anda dan mengurangkan pembendungan bendalir. Pakar syorkan kira-kira 10 cawan (2.3 liter) seharii.

Kurangkan masa berdiri

Jika kesembapan menjadi masalah kepada anda, elakkan berdiri lama dan dan pastikan kaki anda diangkat jika mungkin. Jika anda perlu mengembara, gunakan setokin pemampat untuk mencegah Trombosis Vena Dalam.

Pilih pakaian yang selesa

Gantikan kasut tumit tinggi dengan kasut yang selesa. Dan tanya doktor sama ada stoking kompresi boleh beri sokongan tambahan untuk mengurangkan bengkak.

Berendam di dalam kolam

Untuk mengurangkan bengkak semasa hamil dan juga sebarang ketidakselesaan, anda boleh memakai sarung pemampat di bahagian yang bengkak. Sesetengah pakar juga mencadangkan anda berendam di dalam kolam – tekanan air boleh membantu memampatkan tisu pada kaki, memberikan kelegaan sementara daripada bengkak.ii

Pantau gejala bengkak untuk beritahu doktor

Sungguhpun sesetengah kesembapan memang dijangkakan bila anda mengandung, bengkak mengejut di bahagian muka dan tangan atau keliling mata boleh menandakan keadaan serius dinamakan preeklampsia.2 Segera berjumpa doktor jika anda mengalaminya. Awasi bengkak yang menyakitkan pada sebelah kaki sahaja, kerana ia menandakan darah beku, juga dikenali sebagai trombosis vena dalam. Anda perlu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan daripada doktor.

Namun, kebanyakan bengkak menandakan perubahan biasa yang dialami oleh badan anda bila hamil. Malah, kira-kira 25 peratus tambahan berat badan semasa mengandung adalah disebabkan bendalir tambahan.iii

 


 

Rujukan:
i
Air: Berapa banyak anda patut minum setiap hari? (05 September 2014). Dipetik pada 01 Jun 2017, dari http://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/nutrition-and-healthy-eating...
ii
Harms, M. R. (05 Ogos, 2014). Buku lali bengkak semasa mengandung: Apa yang boleh membantu? Dipetik pada 01 Jun 2017, dari http://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/pregnancy-week-by-week/exper...
iii
Kenaikan berat badan semasa mengandung: Apa yang yang dikira sihat? (15 Februari, 2017). Dipetik pada 01 Jun 2017, dari http://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/pregnancy-week-by-week/in-de...