Kehamilan merupakan satu pengalaman yang sangat diimpikan oleh setiap insan yang bergelar wanita, namun ia boleh menjejaskan kesihatan badan dengan pelbagai cara, termasuklah menyebabkan pergelangan tangan kebas. Kebanyakan wanita mengandung akan mengalami sakit pergelangan tangan ketika hamil terutamanya pada trimester ketiga.

Sakit pada bahagian pergelangan tangan ini dikenali sebagai sindrom terowong karpus atau carpal tunnel syndrome (CTS). Secara umumnya, doktor tidak pasti mengapa keadaan tersebut cenderung berlaku semasa hamil, tetapi ia dipercayai ada kaitan dengan hormon wanita ketika hamil.

Semasa tempoh kehamilan, keadaan pembendungan cecair dalam badan bukan sahaja menjadi punca kepada berlakunya bengkak pada bahagian kaki dan jari tangan si ibu, tetapi ia juga boleh menyebabkan berlakunya bengkak yang membawa kepada keadaan CTS.

Sindrom terowong karpus punca tangan kebas

Sindrom terowong karpus adalah keadaan yang berlaku akibat bengkak di sekitar saraf pergelangan tangan. Ia boleh menyebabkan gejala seperti rasa kebas, kesemutan atau sakit pada satu atau kedua-dua pergelangan tangan1 .

Wanita hamil sangat berisiko untuk mengalami Sindrom terowong karpus ini. Malah, dianggarkan tiga hingga lima daripada 10 individu akan berdepan gejala sindrom ini semasa tempoh kehamilan.

Terowong karpus adalah bahagian tangan yang mengandungi tendon dan saraf (saraf median) yang mengalir melalui pangkal tangan anda. Ia boleh membengkak dan menekan saraf sensitif ini dan menyebabkan kesakitan.

Hubungan antara sakit pergelangan tangan ketika hamil & sindrom terowong karpus

Ketika berbadan dua, perubahan hormon dalam badan akan menyebabkan berlakunya keadaan pembendungan cecair yang boleh mengakibatkan bengkak. Masalah bengkak ini seterusnya berpotensi untuk menghimpit saraf median dalam terowong karpus dan menyebabkan masalah tangan kebas dan rasa sakit pada pergelangan tangan 1.

Keadaan ini lebih cenderung terjadi semasa trimester ketiga. Walau bagaimanapun, ia juga boleh berlaku dalam dua trimester pertama atau selepas bersalin. Dalam kebanyakan kes, gejala akan hilang selepas bersalin.

Selain tangan kebas, fahami simptom lain sindrom terowong karpus

Tanda dan gejala biasa sindrom terowong karpus termasuklah3:

  • Kebas Ia kerap berlaku pada ibu jari, jari telunjuk atau jari tengah. Dalam kes yang teruk, ia boleh mengakibatkan kesukaran untuk memegang atau mengambil sesuatu

  • Sakit Terutamanya pada pergelangan tangan, ibu jari, jari telunjuk atau jari tengah. Kesakitan yang dialami mungkin bertambah teruk apabila anda menggerakkan tangan atau ketika cuaca sangat panas

  • Kesemutan. Lebih dirasai pada bahagian ibu jari, jari telunjuk atau jari tengah Kesemutan ini dijangka bertambah teruk apabila anda menggerakkan tangan atau semasa cuaca sangat panas

  • KelemahanTekanan pada saraf dalam terowong karpus boleh menyebabkan kelemahan pada ibu jari, jari telunjuk atau tapak tangan

Biasanya simptom sindrom terowong karpus lebih sensitif pada waktu malam. Intensiti simptom boleh berbeza daripada kerengsaan ringan kepada kesakitan sekali-sekala hinggalah menyebabkan rasa sakit yang teruk.

Terdapat beberapa punca sindrom terowong karpus semasa kehamilan, seperti1:

  • Bengkak memberikan tekanan pada saraf median pergelangan tangan dan menyebabkan gejala sakit dan kesemutan yang sering dikaitkan dengan ketegangan ergonomik dan gerakan berulang

  • Kurang pergerakan fizikal memperlahankan peredaran darah ke tangan dan anggota badan lain

  • Pergerakan tangan dan pergelangan tangan yang berulang menyebabkan seseorang lebih cenderung untuk mengalami gejala sindrom terowong karpus.

Sertai Enfamama A+ Club sekarang untuk mendapatkan lebih banyak tip, sampel PERCUMA selain beberapa manfaat menarik lain! Klik di sini.

10 tip mengatasi masalah sindrom terowong karpus

Terdapat pelbagai cara selamat dan efektif untuk mengatasi sakit pergelangan tangan ketika hamil. Pilihan rawatan adalah bergantung kepada beberapa faktor seperti keseriusan gejala dan peringkat kehamilan anda.

Sesetengah wanita hamil mendapati kesakitan dan tangan kebas dapat dikurangkan dengan langkah-langkah berikut1,5,6:

  1. Mengangkat tangan semasa anda berehat atau tidak menggunakannya

  2. Memastikan pergelangan tangan dalam kedudukan neutral - tidak bengkok ke depan atau ke belakang dalam kebanyakan masa

  3. Mengekalkan postur lengan dan pergelangan tangan yang baik semasa bekerja di meja

  4. Berehat setiap 20 minit semasa melakukan tugasan di meja

  5. Mengelakkan aktiviti yang boleh meregangkan pergelangan tangan

  6. Pengambilan garam yang tidak berlebihan boleh mengurangkan bengkak dan pembendungan air, memandangkan kedua-duanya memburukkan lagi sindrom terowong karpus.

  7. Jika masalah ini menyebabkan anda berasa sangat sakit, penggunaan pendakap pergelangan tangan (wrist brace) sepanjang hari dan pada waktu malam sangat disarankan.

  8. Meletakkan pek ais pada pergelangan tangan atau merendam tangan dalam air sejuk selama 30 saat hingga 2 minit juga dapat mengurangkan bengkak. Namun, jika gejala semakin teruk, hentikan dan jangan ulanginya.

  9. Pengambilan susu yang berkhasiat dan mengandungi nutrien seperti DHA, Kolina, Asid Folik, Protein dan Kalsium khas untuk ibu hamil boleh membantu menguatkan tulang dan saraf.

  10. Teknik akupuntur juga boleh membantu melegakan kesakitan pada tangan anda. Bertanyalah kepada doktor untuk cadangan pakar yang boleh melakukannya.

Selain itu, sekiranya perlu, doktor mungkin mengesyorkan ubat untuk mengurangkan jumlah pembendungan air dalam tubuh atau menawarkan suntikan bagi mengurangkan bengkak dalam keadaan tertentu.

Situasi tangan kebas berpanjangan

Walaupun sindrom terowong karpus adalah perkara biasa semasa kehamilan, ia boleh mengambil masa beberapa minggu hingga beberapa bulan selepas bersalin untuk gejala-gejala itu hilang sepenuhnya2,4. Jika simptom berterusan, sila berbincang dengan doktor anda untuk mengetahui tindakan yang harus diambil selanjutnya.

Semoga artikel berkaitan dengan sakit pergelangan tangan ketika hamil ini dapat membantu anda memahami punca kesakitan dan cara mengatasinya. Jika masih keliru dengan apa yang perlu dilakukan, berundinglah dengan doktor pakar anda untuk mengetahui info yang lebih mendalam dan terperinci.


Rujukan:
1. Carpal tunnel syndrome and pregnancy.https://www.pregnancybirthbaby.org.au/carpal-tunnel-syndrome-and-pregnancyAccessed on Feb 20, 2022
2. Carpal Tunnel Syndrome of Pregnancy May Persist Long After Delivery. https://www.the-rheumatologist.org/article/carpal-tunnel-syndrome-of-pregnancy-may-persist-long-after-delivery/Accessed on Feb 20, 2022
3. Pregnancy-Related Carpal Tunnel Syndrome. https://www.thewomens.org.au/images/uploads/fact-sheets/Pregnancy-related-carpal-tunnel-210319.pdf, Accessed on Feb 20, 2022
4. Ablove RH, Ablove TS (2009). Prevalence of carpal tunnel syndrome in pregnant women. WMJ, 108(4):194-6. PMID: 19753825. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/19753825/, Accessed on Feb 20, 2022