kemahiran hidup penting yang mesti dipelajari oleh setiap kanak-kanak

Para ibu sentiasa berasa risau sama ada mereka telah memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Salah satu cara untuk memastikan ini adalah apabila anak- anak mereka mendapat keputusan yang cemerlang di sekolah. Namun, ada pembelajaran yang tidak terhad dengan buku dan keputusan peperiksaan semata- mata, tetapi sama penting kepada perkembangan anak-anak.

Di sini disenaraikan beberapa kemahiran yang setiap anak-anak perlu kuasai agar mereka sedia untuk masa depan. Selain daripada kemahiran motor yang sesuai mengikut umur, ibubapa perlu ingat kemahiran ini walaupun berbeza daripada, tetapi diperlukan seiring dengan akademik. Dan berita baiknya, anda boleh membantu menyemai kemahiran ini sekarang, supaya nanti anak-anak anda dapat menikmati manfaatnya sepanjang kehidupan mereka.

Bekerjasama

Melihat kanak-kanak bekerja dan bermain bersama-sama adalah sesuatu yang menggembirakan. Melihat dinamik dalam kumpulan mereka, bagaimana mereka berkomunikasi di dalam pasukan, kesemuanya sangat mempesonakan, lebih- lebih lagi apabila mereka masih kecil lagi.

Bahkan, satu kajian1 mendedahkan kanak- kanak yang mempunyai kemahiran sosial yang kuat seawal ketika mereka di tadika mempunyai peluang yang cerah untuk berjaya apabila mereka dewasa nanti. Kanak-kanak yang boleh bekerjasama akan belajar untuk berkongsi dan memberi penghargaan kepada yang berhak.

Mempunyai kebolehan untuk bekerja dengan baik dengan orang lain juga akan membuka dunia anak anda. Ia mengajar anak anda untuk berubah daripada corak pemikiran “aku” kepada “kita”.

Anda boleh membantu anak anda untuk mengasah kemahiran ini dengan membuat kerja-kerja rumah sebagai satu keluarga, atau membuat sesuatu bersama-sama. Perlulah diingat untuk menunjukkan penghargaan kepada mereka kerana bekerjasama dengan anda dan di atas usaha mereka. Ini akan memberi semangat kepada anak anda untuk melakukan lebih banyak aktiviti bersama-sama dan untuk orang di sekelilingnya.

Empati

Manifestasi yang biasa untuk empati ialah apabila anak anda ikut menangis apabila dia melihat kanak-kanak lain menangis dan meniru emosi kanak-kanak tadi. Mampu mengaitkan diri atau mengetahui bagaimana perasaan orang lain bukan sahaja akan mengubah anak anda dari sikap “dunia ini berkisar tentang aku”, tetapi empati mengajar sesiapa pun – tidak kira umurnya – untuk berhubung dengan orang lain secara lebih mendalam.

Mengajar anak anda untuk merasa empati terhadap orang lain nampak seperti sukar, tetapi sebenarnya amatlah mudah. Ianya bermula dari rumah – bagaimana anda boleh mengakui dan mengaitkan diri dengan emosi dan pengalaman mereka setiap hari.

Kebanyakan ibubapa, terutama apabila emosi anak-anak mereka terganggu, mereka akan dengan cepat cuba memujuk anak-anak mereka tanpa mengambil tahu punca kepada masalah yang dihadapinya. Ini dapat difahami, tetapi mungkin, pada lain masa apabila anak anda menyatakan rasa sedih atau terluka, cuba berhenti sebentar dan hargai emosi dan pengalaman yang telah dilaluinya. Dengan cara ini, Anda mempunyai masa untuk lebih memahami apa yang telah terjadi, dan peluang kepada anak anda untuk belajar memujuk diri sendiri.

Apabila mereka sudah cukup besar untuk berbual, cuba gunakan ayat penyata yang mudah seperti, “Kamu nampak sedih / terluka / takut. Mahu kongsikan apa yang telah terjadi pada ibu/ayah? Mungkin ibu/ayah boleh tolong kamu.” Selalunya, mereka memang tidak bersedia untuk berkongsi, dan jangan paksa mereka jika seandainya mereka enggan. Berada di samping mereka sehingga mereka sedia untuk bercakap, sementara mereka memproses atau mengenal pasti emosi mereka, akan dapat menenangkan mereka kerana ini menunjukkan anda mengambil berat tentang mereka dan apa yang dirasai oleh mereka adalah sesuatu yang benar dan penting.

Apabila ini berlaku, anak anda juga akan menggunakan pendekatan yang sama kepada orang lain, dan tidaklah mereka mengabaikan atau memaksa orang lain untuk “rasa okay” dengan secepat mungkin. Ini kerana, mempunyai empati bermaksud anda meletakkan diri anda pada tempat orang lain, dan bukannya menyelesaikan masalah untuk mereka.

Daya Penumpuan

Kemampuan untuk fokus pada tugasan yang sedang dilakukan – sama ada tugasan seni ataupun bercakap dengan rakan sebaya – adalah sukar pada hari ini, walaupun bagi orang dewasa! Dengan pelbagai gangguan di sekeliling kita, daya penumpuan mungkin adalah salah satu kemahiran yang perlu kita asah setiap hari.

Dan mengapa ini bermanfaat untuk anak anda? Membuat pelbagai tugasan dalam satu masa akan membuatkan seseorang terpaksa membahagi-bahagikan tumpuan mereka, manakala dengan memberikan fokus pada satu tugasan dalam satu-satu masa dapat membantu tugasan itu disiapkan dengan lebih cepat dan efisien.

Tambahan pula, ini akan mengajar anak anda untuk memberikan fokus yang sepenuhnya pada waktu kini. Tidak terbawa-bawa kesilapan yang lalu, tidak gelisah tentang masa hadapan – apa yang mereka perlu hadapi ialah apa yang kini berada di hadapan mereka, dan ini akan membuatkan mereka berasa lebih lega dan berasa apa yang berlaku berada dalam kawalan mereka.

Jadi bagaimana anda menggalakkan kemahiran ini dalam diri si kecil anda yang penuh bertenaga? Gesa anak anda untuk mengemas alat permainannya sebelum bermain permainan yang baru, atau sebagai contoh, berikan tugasan kepadanya untuk mencari barang ketika berada di pasaraya, supaya tumpuan dia ialah untuk mencari barang tersebut untuk anda.

Menyelesaikan masalah

Mampu mencari jalan penyelesaian kepada masalah harian, dari sekecil-kecil masalah seperti mempelajari cara bermain alat permainan yang baru kepada masalah yang besar seperti berdepan dengan pembuli, adalah kemahiran hidup yang akan sentiasa diuji dan dilatih.

Sebagai ibubapa, anak-anak akan memandang tinggi terhadap anda tanpa anda sedari. Walaupun keinginan untuk menyelesaikan masalah atau menyelamatkan anak anda itu tinggi, tetapi dengan mengajar mereka untuk menyelesaikan masalah mereka dengan sendiri akan membantu mereka menjadi individu yang berdikari, mempunyai pemikiran yang kritikal. Kemahiran menyelesaikan masalah yang sangat baik adalah ciri-ciri khas pemimpin yang kuat.

Asah kemahiran ini dengan memberikan alat permainan jenis terbuka. Blok, puzzle atau pun bahan-bahan yang boleh ditemui di sekeliling rumah anda yang boleh digunakan (seperti rol tisu yang telah habis, kotak kasut, dan lain-lain) akan membantu mereka menjadi lebih kreatif dengan mencari idea permainan dengan menggunakan barang-barang ini.

Apabila mereka bertanya, bantu mereka untuk memikirkan jawapan dengan sendiri atau biarkan mereka menjawab pertanyaan tersebut dengan jawapan mereka sendiri, daripada anda terus menjawab pertanyaan mereka. Pendekatan ini akan mengambil masa anda sedikit, tetapi hasilnya sangat memuaskan.

Komunikasi

Salah satu pengalaman yang amat menggusarkan ibubapa baru ialah mendengar anak mereka menangis (dan kadangkala tangisan mereka seolah-olah berada dalam kesakitan yang sangat teruk) tanpa mengetahui sebab dan puncanya. Akan tetapi, menangis adalah komunikasi utama anak-anak dengan ibubapa masing- masing pada awal kehidupan mereka.

Lama-kelamaan, ibubapa akan mula belajar bagaimana “membaca” dan memahami bukan sahaja secara lisan, tetapi juga bahasa tubuh badan anak-anak mereka. Anda juga boleh merangsang kemahiran komunikasi anak anda dengan memberi galakan kepadanya untuk menyembut kembali – secara lisan, dengan menunjuk kepada benda atau perkara tertentu kepada anak anda dan meminta mereka untuk mengulang kembali; dan melalui pergerakan, seperti menunjuk atau membuat bahasa isyarat sekiranya dia masih lagi anak kecil, untuk perkataan asas seperti susu, tolong, lagi, mengantuk, dan lain-lain. Menyanyi dan menari bersama- sama anak anda juga boleh membantu.

Belajar untuk menjadi individu yang dapat berkomunikasi dengan berkesan bermakna perlu menjadi pendengar yang baik. Ini akan menjadi kunci kepada kejayaan hubungan anak anda pada masa hadapan dan juga kepada prestasi anak anda di sekolah dan di tempat kerja.

 

Mengajar 5 kemahiran ini kepada anak anda adalah satu proses pembelajaran seumur hidup yang akan mengambil masa dan usaha yang banyak, tetapi percayalah anda akan merasa teruja apabila melihat anak anda mula memahami konsep, menggunakan, dan mungkin mengajar anda pula tentang kemahiran ini! Ingatlah segala panduan yang telah anda berikan akan menjadi penanda aras untuk setiap tindakan dan keputusannya pada masa hadapan, jadi anda perlu bersabar dan raikanlah (bahkan nikmati!) peranan anda sebagai guru pertama anak anda.


References:
1New Research: Children With Strong Social Skills in Kindergarten More Likely to Thrive as Adults https://www.rwjf.org/en/library/articles-and-news/2015/07/new-research--...