Kepentingan kecerdasan emosi untuk kanak-kanak

Anak anda telah pun mahir dalam ABC dan 123nya, dan anda pasti merasa bangga di atas pencapaian anda dan anak anda. Walau bagaimanapun, ada satu aspek yang penting dalam perkembangan kanak-kanak yang kadangkala ibubapa terlepas pandang tetapi ianya boleh menjadi penentu kepada kejayaan anak anda pada masa hadapan.

Kecerdasan Emosi atau “EQ” menurut J. Mayer dan P. Salovey di dalam buku mereka Emotional Development and Emotional Intelligence adalah kemampuan untuk melihat, mengakses dan menjana emosi bagi membantu corak pemikiran, dan lantas mengawalnya secara reflektif1.

Secara ringkasnya, EQ ialah keupayaan memahami emosi diri dan juga emosi orang lain serta menentukan reaksi yang sesuai diberikan kepada mereka. Ini termasuklah keupayaan seseorang menangani konflik, berunding dan berkomunikasi.

Dalam buku terlarisnya, Emotional Intelligence: Why it can matter more than IQ2, ahli psikologi Daniel Golemen mengatakan ketinggian IQ tidak secara automatik menjamin kejayaan seseorang. Apa yang dapat menentukan sama ada seseorang itu mendapat peluang kenaikan pangkat di tempat kerja adalah EQ di mana IQ dan pengetahuan teknikal berada pada tahap yang lebih kurang sama.

Kebolehan individu untuk memahami orang lain, menguruskan salah faham, memimpin dengan empati, mengendalikan rundingan, dan menyelesaikan masalah bersama-sama akan menentukan kejayaannya di sekolah dan di tempat kerja.

Memupuk EQ akan mempersiapkan anak anda untuk masa depan

Mengasah kemahiran sosio-emosi anak anda sejak dari kecil akan menentukan keupayaannya untuk menjalin hubungan yang berjaya dan membuat keputusan yang sewajarnya dalam kehidupannya nanti.

Satu kajian oleh Dr. Damon Jones yang diterbitkan dalam American Public Health Association3 mendapati kanak-kanak tadika yang mampu mempamerkan satu tahap kecerdasan emosi dan oleh disebabkan itu boleh berkongsi, menyelesaikan konflik, mendengar, menyatakan emosi diri dan memahami orang lain mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk tamat pengajian di peringkat universiti dan mempunyai kerja yang tetap seawal usia 25 tahun.

Membantu anak anda memupuk kebolehannya agar dapat merasai apa yang dirasakan oleh orang lain dan memahami perasaan diri dan orang lain boleh menjadi kunci kejayaan atau masalah pada masa hadapan.

Jadi amat penting untuk ibubapa memahami bahawa walaupun kita sememangnya mahu berusaha sehabis baik untuk kebijaksanaan anak kita dalam bidang akademik kerana kita mengetahui akan kepentingannya, kita juga harus sedar untuk mempersiapkan permata berharga kita menghadapi realiti di dunia luar, kita perlu memupuk EQ mereka untuk perkembangan yang menyeluruh.

Apa yang membezakan di antara kejayaan dan kegagalan membesarkan anak yang mempunyai kecerdasan emosi?

Kesibukan dengan tugasan di tempat kerja dan juga kerja-kerja rumah setiap hari akan membuatkan kita mengambil mudah tangisan anak kita dan menganggap ianya hanyalah tangisan untuk menunjuk perasaan, dan kita gagal menyedari bahawa ianya adalah satu ledakan dan luahan perasaan emosi yang kuat yang boleh menjadi peluang kepada kita untuk memupuk dan membina EQ anak kecil kita.

Membina EQ anak kecil kita bermula dari bimbingan anda di rumah, terutamanya dalam situasi di mana emosi sedang membuak-buak dan anak kecil anda tidak tahu bagaimana untuk menanganinya. Dr. John Gottman et. al., dalam buku mereka Raising an Emotionally Intelligent Child; The Heart of Parenting menyenaraikan satu senarai langkah untuk membantu ibubapa berhadapan dengan cetusan emosi anak- anak mereka, mengajar anak-anak mereka untuk memahami emosi tersebut, dan seterusnya membina EQ anak-anak mereka.4

Nasihat Dr. Gottman kepada ibubapa agar:

  1. Menyedari emosi anak
  2. Mengenalpasti emosi tersebut sebagai peluang untuk menjadi lebih rapat dan sesi pengajaran
  3. Dengar dengan empati,mengesahkan perasaan anak
  4. Bantu anak untuk mencari perkataan yang sesuai untuk menggambarkan perasaannya pada masa itu
  5. Letakkan had ketika mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang sedang dihadapi

Ini bermakna setiap kali anak kecil kita menunjukkan kemarahan dengan tiba-tiba, pastikan kita mendengar dan beri perhatian kepada perasaannya. Fahami bahawa anak kecil anda terlalu muda untuk memahami perasaannya sendiri dan dengan itu dia memerlukan bimbingan anda untuk memproses perasaannya.

Anda perlu memberitahu kepada anak anda sebagai contoh, bahawa berasa marah adalah normal, dan benarkan dia mengalami emosi ini daripada menahan atau menghukumnya kerana menangis atau menganggap kemarahannya adalah perkara kecil. Berada di sampingnya ketika dia sedang menangis.

Pada mulanya anda mungkin seperti ibubapa yang permisif Laissez-Faire mengiktiraf dan berasa empati dengan emosi negatif anak anda, tetapi apa yang menjadi perbezaannya ialah terletak pada bimbingan anda kepada anak anda untuk menangani emosi negatifnya. Kita perlu tunjukkan kepada anak kita bahawa emosi negatif ini boleh ditangani, dan langkah pertama ialah mengakuinya, dan kemudian berlapang dada melepaskannya.

Mempraktikkan pendekatan ini di rumah akan membenarkan anak anda untuk memahami perasaannya, mengawal emosinya, dan juga menyedari emosi orang lain, yang mana kesemua ini adalah permulaan kepada perkembangan EQ.

Pemakanan yang sesuai untuk menyokong EQ dan IQ

Selain daripada memberikan sokongan emosi dan mendedahkan anak-anak kepada aktiviti yang akan meningkatkan EQ dan IQ mereka, anda boleh merangsang perkembangan anak anda dengan memberikan pemakanan yang optimum.

Kajian oleh University of Illinois5 mendapati kombinasi gabungan prebiotik dan membran globul lemak susu atau MFGM (sejenis komponen nutrien yang ada secara semulajadi di dalam susu mamalia) bersama DHA boleh memajukan perkembangan neuro.


Rujukan:
1Mayer, J., & Salovey, P. (1997). What is emotional intelligence? In Emotional development and emotional intelligence: Educational implications (pp. 3-34). New York, NY: Harper Collins.
2Goleman, D. (2010). Emotional intelligence: why it can matter more than IQ. London: Bloomsbury.
3Jones, D. E., Greenberg, M., & Crowley, M. (2015). Early Social-Emotional Functioning and Public Health: The Relationship Between Kindergarten Social Competence and Future Wellness. American Journal of Public Health,105(11), 2283-2290. doi:10.2105/ajph.2015.302630
4Gottman, J., & DeClaire, J. (1998). Raising an emotionally intelligent child:. New York, NY: Fireside, Simon & Schuster.
5Mudd, A. T., Alexander, L. S., Berding, K., Waworuntu, R. V., Berg, B. M., Donovan, S. M., & Dilger, R. N. (2016). Dietary Prebiotics, Milk Fat Globule Membrane, and Lactoferrin Affects Structural Neurodevelopment in the Young Piglet. Frontiers in Pediatrics,4. doi:10.3389/fped.2016.00004