memupuk kecerdasan emosi pada anak anda

Otak kanak-kanak bertumbuh dengan kadar yang pantas. Mereka sentiasa bertindakbalas, menyesuaikan diri dan memjana idea-idea baru berdasarkan pengalaman yang mereka alami.

Selain daripada melengkapkan mereka them dengan pengetahuan fakta, nombor dan teori, elemen pembelajaran sosial dan emosi juga patut diselitkan dalam proses tumbesaran mereka, baik di sekolah, bersama guru dan rakan-rakan, atau di rumah bersama keluarga terdekat.

Apabila kita mengajar kepada anak-anak kita tentang kecerdasan emosi, ini bermakna bagaimana untuk mengenalpasti perasaan mereka, memahami dari mana perasaan itu datang dan belajar cara-cara menangani perasaan itu, kita sebenarnya sedang mengajar kemahiran penting yang diperlukan untuk mereka berjaya dalam hidup.

Hakikat kanak-kanak hari ini banyak menghabiskan masa di hadapan skrin komputer dan telefon pintar, berbual dengan rakan-rakan (bahkan dengan orang yang tak dikenali) di dalam media sosial, telah mewujudkan satu keperluan yang lebih besar, kini, untuk memupuk kecerdasan emosi, dari peringkat awal usia.

Apabila kita memupuk perkembangan emosi anak-anak, mereka akan belajar bagaimana menangani perasaan mereka dengan cara yang sihat, bagaimana untuk menyelesaikan konflik dengan cara yang positif, dan membuat keputusan yang bertanggungjawab. Ini akan kemudiannya memperkasa mereka dalam menghadapi cabaran dalam dunia yang semakin kompleks.

Ahli psikologi Daniel Golemani menyenaraikan Kecerdasan Emosi (EI) atau Emotional Quotient (EQ) sebagai gabungan:

Goleman, D. (2010).Emotional intelligence: why it can matter more than IQ. London: Bloomsbury.

  1. Kesedaran kendiri: Mengenal pasti emosi sendiri
  2. Pengurusan kendiri: Kebolehan menyelia dan mengawal bagaimana tindakbalas kita terhadap emosi.
  3. Motivasi dalaman: Mengetahui apa yang penting dalam hidup, dan menggunakannya untuk menentukan dan mencapai matlamat.
  4. Empati: Memahami emosi orang lain.
  5. Kemahiran sosial: Mempunyai kebolehan untuk membina perhubungan yang sesuai dengan orang lain dalam pelbagai keadaan.

Apa yang bagusnya, kelima-lima komponen kecerdasan emosi ini dapat diajar dan dipelajari semasa mana-mana peringkat umur.

Sekiranya seorang anak menerima sokongan emosi yang sedikit di rumah, dia mungkin akan terdedah kepada tekanan rakan sebaya, kebimbangan, dan kekhuatiran. Seorang anak mungkin akan menghadapi kerisauan dan ketakutannya dengan berselindung di sebalik keberanian yang palsu. Ini mungkin akan mengubahnya menjadi seorang pembuli atau menjadi seorang yang tidak cemerlang disebabkan kurangnya motivasi.

Berikut adalah antara perkara yang boleh kita lakukan untuk memupuk EQ anak-anak kita:

  • Bantu anak kita mengenalpasti emosi mereka:

    Jangan memperlekeh atau mengkritik emosi anak anda sebagai sesuatu yang tidak penting. Bantu dia untuk memahami apa yang dia rasakan dan mengapa dia berasa begitu. Jadikan tabiat mengenal pasti dan melabelkan emosi yang terbit, satu kebiasaan semenjak dari kecil. Sebagai contoh, seandainya anak anda berasa sedih atau tidak bersemangat, minta mereka menerangkan apa yang mereka rasakan ataupun tuliskan ataupun lukiskan perasaan itu. Lakukan perkara yang sama juga apabila anak anda merasai emosi yang positif.

  • Jadilah teladan:

    Kebiasaannya, kita sebagai orang dewasa juga mempunyai kesukaran untuk menangani emosi kita sendiri, apatah lagi untuk mengajar anak kita sendiri. Tiada sesiapa pun yang sempurna, tetapi kita harus ingat, sebagai ibubapa, sememangnya telah menjadi tugas kita untuk mengajar anak kita mengawal emosi mereka. Haruslah sentiasa berusaha untuk menguruskan perkara ini sendiri, dan mengawal tahap kemarahan kita.

  • Ajarkan empati:

    Semuanya bermula dengan berasa empati terhadap anak anda sendiri. Perhatikan dan beri perhatian ke atas apa yang berlaku dalam kehidupan anak anda, tunjukkan sokongan anda pada perkara yang diminati oleh mereka. Raikan setiap kejayaan mereka walau sekecil mana pun dan berkongsilah kesedihan mereka.

    Memberi perhatian yang sepenuhnya ketika berbicara dengan anak anda amatlah penting. Jadi, janganlah pula anda berbicara sesuatu yang penting kepada anak anda ketika memlbeli barangan runcit, sebagai contoh. Membaca adalah aktiviti yang sangat bagus, untuk para ibubapa dan anak-anak menjadi lebih fokus. Ianya juga adalah satu cara yang baik untuk berbincang tentang apa yang dirasakan oleh watak utama dalam satu-satu cerita. Kanak-kanak yang merasakan suara mereka didengari dan bernilai, akan lebih menunjukkan rasa belas kasihan, hormat dan empati terhadap orang lain.

  • Penuhi keperluan emosi anak anda.

    Berusahalah untuk menjalin satu ikatan yang kukuh dan selamat dengan anak anda. Anak anda perlu tahu walau sukar bagaimanapun sesuatu keadaan yang dia hadapi, anda akan sentiasa di sisinya. Membimbingnya pada waktu- waktu yang sukar akan mendalamkan lagi rasa percaya kepada anda dan merasa lebih selamat. Dengan ini, dapat meningkatkan lagi kebarangkalian untuknya memberikan respon yang baik kepada orang lain.

  • Ajarkan cara menyelesaikan masalah:

    Tunjukkan pada anak anda setiap permasalahan pasti ada jalan penyelesaian jika dihadapi dengan kesabaran dan rasional. Fokus pada perkara yang baik dan fikirkan bagaimana situasi yang negatif boleh dibetulkan. Menerima kegagalan dan kesilapan. Ajar mereka untuk belajar dari masa silam dan terus bergerak menuju masa depan.

  • Berikan mereka nutrisi yang sesuai:

    Anda mungkin tidak serta- merta menyedari bagaimana diet anak anda akan mempengaruhi EQ mereka, tetapi nutrisi memainkan peranan dalam perkembangan otak anak anda, yang juga merupakan pusat pengurusan emosinya.

    Kanak-kanak yang mempunyai ketinggian EQ akan lebih cenderung menyemai hubungan yang positif, berkomunikasi dengan berkesan, menyelesaikan masalah, mengatasi situasi yang sukar dan mengurus stres. Apabila kanak-kanak ini memasuki alam kedewasaan, kecerdasan emosi mereka yang telah dipupuk boleh membantu mereka menjadi lebih bahagia dan lebih sihat dalam karier serta hubungan mereka.

Golemani , D. (2010). Emotional intelligence: why it can matter more than IQ. London: Bloomsbury.