Perkembangan emosi kanak kanak

Pastinya ibu bapa pernah berdepan dengan situasi di mana anak bersilih ganti ketawa, menangis dan kadangkala merengek, bukan? Sebenarnya, ini merupakan perkembangan emosi kanak-kanak yang baik!

Pun begitu, ibu bapa masih ada tugas penting untuk membantu mereka mempelajari perihal mengawal emosi.1

 

Fahami perkembangan emosi kanak-kanak

Di saat bergelar ibu, sudah tentu anda pernah berdepan situasi di mana emosi anak yang cepat berubah.

Dalam tengah bergembira, tanpa angin, tanpa ribut, tiba-tiba sahaja si kecil boleh menangis atau merajuk. Sepantas kilas mood mereka boleh bertukar!2

Ada kalanya apa yang dirasai anak akan disertai dengan perbuatan seperti mencium pipi atau memeluk anda. Ia adalah cara mereka menzahirkan rasa kasih sayang.2

Umumnya, kanak-kanak pada zaman sekarang mudah menunjukkan emosi mereka dengan jelas. Jadi adalah penting untuk para ibu bapa memahami tentang perkembangan emosi kanak-kanak.

Pasti ada yang bertanya, kenapakah kita semua perlu mempelajari tentang aspek perkembangan tersebut?

Jawapannya mudah, jika anda faham mengenai jenis emosi kanak-kanak yang ditunjukkan, sudah pasti anda akan mengetahui kaedah membantu anak dalam mengawal emosi tersebut dengan cara yang mudah.3

 

Ciri perkembangan emosi kanak-kanak

Perkembangan emosi adalah kemampuan untuk anak anda merasakan dan menyatakan perasan seperti rasa marah, tidak puas hati, kebencian, ketakutan serta kebahagiaan.1

Ia merupakan keupayaan untuk membezakan apa yang dirasai, mengekspresi dan mengawal emosi apabila berhadapan dengan situasi yang berbeza.1

Perkembangan emosi yang baik dapat membantu mewujudkan perasaan positif serta rasa hormat pada diri.

 

Perkembangan emosi kanak kanak

Malahan, aspek perkembangan emosi kanak-kanak ini juga melibatkan perkembangan sosial kanak-kanak, yang menggabungkan dua aspek ini menjadi satu kumpulan.4

Seperti anda ketika kecil dahulu, anak juga akan belajar meluahkan apa yang dirasakan mereka dengan jujur walaupun ia tidak dilafazkan melalui kata-kata.

Bercakap mengenai perkembangan emosi kanak-kanak, sebagai ibu bapa anda perlu bersedia untuk melihat mereka dalam keadaan gembira, marah, sedih mahupun takut.5

Ia biasanya akan ditunjukkan dengan tindakan melompat, memeluk, bertepuk tangan, menjerit, menangis atau melemparkan barang.

Oleh itu, adalah penting untuk anda membantu mereka mengawal emosi dengan cara yang lebih baik.5

 

Jenis emosi kanak-kanak yang berbeza

Setiap anak itu pasti berbeza dan ada keunikan mereka masing-masing. Pun begitu, berikut adalah antara jenis emosi kanak-kanak yang normal:

Bahagia

Apabila anak anda sedang dalam emosi bahagia, mereka akan menyatakannya dengan pelukan, senyuman dan ketawa.3

Mereka juga akan mempunyai keinginan untuk berada dekat dengan individu atau barangan yang disayangi seperti anak patung, bantal atau selimut.

Gembira

Sekiranya mereka dalam emosi seronok, mereka akan menzahirkannya dengan tingkah laku seperti bertepuk tangan, tersenyum, ketawa, melompat, memeluk dan sebagainya.3

Perkembangan emosi kanak kanak

Marah

Jika si manja berada dalam emosi marah, seperti barangan mainan dirampas oleh kanak-kanak lain, biasanya mereka akan meluahkan perasaan tersebut melalui perbuatan memukul, menggigit mahupun mengejek.3

Apa yang dikhuatiri, sekiranya tingkah laku memukul itu melibatkan perbuatan yang terlalu agresif sehingga boleh menyebabkan kecederaan pada individu lain.

Takut

Perasaan takut yang dialami boleh melibatkan persekitaran, individu atau khayalan mereka. Kebiasaannya, ia adalah emosi yang normal untuk dirasai.3

Si kecil mungkin akan berasa takut dengan individu yang tidak dikenali, kawasan yang gelap dan khayalan tentang hantu.

Cemburu

Jangan tak percaya, kanak-kanak juga mempunyai rasa cemburu. Ia biasanya berlaku apabila kehadiran adik-beradik lain atau apabila si ibu mendukung anak kecil lain.3

Mereka akan menzahirkan rasa cemburu ini sama ada melalui kemarahan dan tingkah laku seperti menghisap jari atau kencing malam.

Kesedihan

Apabila anak berasa sedih atas kehilangan sesuatu yang disayangi atau benda penting seperti barang mainan, ia akan ditunjukkan dengan cara murung, enggan bermain atau tidak mahu makan.3

 

Manfaat kanak-kanak belajar mengawal emosi

Menurut Profesor Madya Psikologi Kolej St. Olaf, Grace Cho, sekiranya seorang kanak-kanak mempelajari cara untuk mengekspresi emosi serta perasaan dengan tepat, mereka mungkin mempunyai keupayaan untuk mengawal emosi dengan baik.1

Bukan hanya itu, kanak-kanak dengan kebolehan mengawal perasaan dan emosi juga dikatakan akan mempunyai keperibadian ceria, tegas, dan ada rasa empati pada individu lain.

Kelebihan lain bagi anak dengan keupayaan pengurusan emosi yang baik adalah mereka akan dapat menghadapi masalah dan menyelesaikannya dengan cara yang terbaik.

Paling penting, kanak-kanak ini akan membesar menjadi individu yang patuh pada peraturan dan undang-undang, bukankah ia sesuatu yang bagus?5

 

Mengendalikan perkembangan emosi kanak-kanak

Perkembangan emosi kanak kanak

Jadi bagaimana cara terbaik untuk membantu anak mengawal perasaan dan emosi mereka?

Jika berdepan situasi anak yang sedang tantrum atau mengamuk, peluklah mereka. Pandang ke dalam matanya dan gunakan kelembutan seorang ibu untuk menenangkan anak.6

Anda juga boleh membantu si kecil untuk belajar cara mengawal dan menjaga emosi dengan membawanya bersosial bersama kanak-kanak yang sama usia dengannya.

Tindakan tersebut membolehkan mereka belajar bagaimana untuk bersama individu lain serta mematuhi peraturan berkumpulan, menunggu giliran, berkongsi dan lain-lain.

Sekiranya mengalami keadaan anak tidak mahu mengikut cakap anda, elakkan daripada terus melabel mereka sebagai degil. Sebaliknya, alihkan perhatian atau berikan pilihan.6

Misalnya, kalau anak enggan menyimpan mainan setelah bermain, ajaklah mereka untuk bersama-sama mengumpul mainan atau katakan kepada si kecil, jika mainan dikemas kembali, anda akan membacakannya buku cerita.

Pada dasarnya, pemilihan perkataan adalah penting semasa berbicara dengan anak. Biarkan mereka merasakan seperti diberikan pilihan dan bukannya kehilangan kebebasan.7

Walau bagaimanapun, perkara paling mustahak dalam perkembangan emosi kanak-kanak ini adalah ibu bapa perlu banyak bersabar dengan kerenah si kecil.2

Jom sertai Kelab Enfamama A+ untuk tips-tips kehamilan dan keibubapaan, sampel PERCUMA dan banyak lagi!

Klik di sini untuk sertai.


Rujukan:
  1. How to help kids understand and manage their emotions, https://www.apa.org/topics/parenting/emotion-regulation, Accessed June 12 2023.

  2. Understanding why kids have trouble managing emotions, https://www.understood.org/en/articles/understanding-your-childs-trouble-managing-emotions, Accessed June 12 2023.

  3. How Many Different Kinds of Emotion are There?, https://kids.frontiersin.org/articles/10.3389/frym.2018.00015, Accessed June 12 2023.

  4. What Is Social and Emotional Development, https://helpmegrowmn.org/HMG/HelpfulRes/Articles/WhatSocialDev/index.html, Accessed June 12 2023.

  5. Promoting Young Children’s Social and Emotional Health, https://www.naeyc.org/resources/pubs/yc/mar2018/promoting-social-and-emotional-health, Accessed June 12 2023.

  6. How to Handle Tantrums and Meltdowns, https://childmind.org/article/how-to-handle-tantrums-and-meltdowns/, Accessed June 12 2023.

  7. What You Need to Know About Disciplining Your Child, https://www.psychalive.org/five-things-you-need-to-know-about-disciplining-your-child/, Accessed June 12 2023.