Menentukan siapa yang patut berada di bilik bersalin bersama anda mungkin sukar pada waktu itu. Nak pilih siapa? Berikut adalah beberapa petua untuk mempersiapkan diri menghadapi hari penting ini.

Anda mungkin sudah bersedia, tetapi sudahkah anda berfikir tentang proses kelahiran itu sendiri?

menyusun rancangan bersalin

Adakah Anda Mahukan Suami Anda di Bilik Bersalin?

Ramai pasangan membuat keputusan menjadikan detik-detik bermakna ini pengalaman peribadi. Manfaatnya: Tumpuan diberikan kepada ibu semasa bersalin. Selepas bersalin, ibu boleh berehat bersendirian sebelum bertemu rakan-rakan dan keluarga. Tetapi jika anda membuat keputusan untuk membenarkan lebih ramai orang masuk, tetapkan peraturan yang sewajarnya.

Tetapkan peraturan untuk pengunjung

Apabila anda membuat keputusan siapa yang patut ada di bilik bersalin, tetapkan peraturan sesuai. Tiada panggilan telefon ke luar semasa kelahiran dan bersalin? Tiada kemas kini status media sosial sehingga selepas bersalin? Atau adakah anda mahu mengambil gambar dan video penuh proses kelahiran? Tidak kira apa pilihan anda, tentukan dan maklumkan lebih awal.

Berurusan dengan Pandangan Berbeza mengenai Pelan Bersalin Anda

Jika anda telah membuat keputusan menjemput beberapa orang penting ke dalam bilik bersalin – seperti ibu dan adik-beradik perempuan – maklumkan rancangan atau pendirian anda lebih awal. Beritahu mereka hospital bukan tempat untuk berdebat walaupun mereka mempunyai pandangan yang berbeza. Apa yang anda perlukan ialah sokongan tidak berbelah bagi mereka, tidak kira apa pilihan dan keperluan cara bersalin anda.

Kongsi senarai orang yang dibenarkan.

Mungkin ada orang tertentu yang anda tidak benarkan masuk ke bilik bersalin. Anda atau suami harus memberitahu lebih awal untuk mengelakkan salah tanggapan atau menyinggung perasaan. Terangkan bahawa proses bersalin itu satu pengalaman peribadi, tetapi mereka boleh melihat cahaya mata anda selepas itu. Beritahu jururawat bertugas tentang kehendak anda. Mereka sudah biasa menangani gangguan seperti ini. Lebih penting lagi, jururawat arif dalam soal hak privasi pesakit dan akan memastikan kehendak anda dipenuhi.

Ingat, Anda adalah Fokus Rancangan Bersalin

Bertegas dengan keputusan anda –kerana andalah yang perlu melalui proses bersalin, menahan sakit dan merasai ketidakselesaan. Anda tidak perlu bimbang mungkin akan menyinggung perasaan orang lain. Anda perlu memastikan kepentingan dan kesihatan anda dan si manja di samping mengurangkan tekanan di bilik bersalin. Ini termasuk menentukan siapa yang harus berada di dalam dan di luar bilik bersalin.