mengetahui tentang melahirkan buat pertama kalinyamengetahui tentang melahirkan buat pertama kalinya

Pelbagai perkara tidak diduga boleh berlaku semasa bersalin. Berikut ialah maklumat yang boleh membantu ibu-ibu jika mereka mengetahuinya terlebih dahulu, berasaskan pengalaman ibu-ibu yang telah melalui pengalaman ini.

Tidak kira sejauh mana anda membuat perancangan, sakit bersalin dan proses melahirkan anak pasti menimbulkan sesuatu di luar dugaan. Anda akan lebih bersedia menghadapi keadaan yang mendatang jika sudah maklum dan membuat persiapan. Ramai ibu yang kurang bersedia menghadapi realiti proses kelahiran. Berikut adalah beberapa perkara yang patut diketahui oleh ibu-ibu sebelum memasuki bilik bersalin.

Sakit nak bersalin tidak sama bagi semua wanita

Di kaca TV, segalanya nampak mudah – apabila pecah air ketuban, ibu dibawa ke hospital. Selepas meneran, si manja dilahirkan ke dunia. Anda perlu membezakan fakta daripada maklumat palsu apabila bersiap sedia untuk ke bilik bersalin, dan sedar bahawa segalanya bukan seperti dalam TV. Keadaan lebih rumit dalam dunia sebenar. Hakikatnya ada sesetengah wanita tidak dapat membezakan sakit betul nak beranak dengan sakit disebabkan kontraksi palsu.

1. Pecah air ketuban:Bagi sesetengah wanita, pecah air ketuban ialah tanda pertama bahawa proses melahirkan anak telah bermula. Seperti dalam drama TV, banyak air mungkin mengalir keluar, tetapi ada juga wanita yang mengalami sedikit lelehan air sahaja. Dalam keadaan tertentu, sukar untuk membezakan antara cecair amniotik dan air kencing. Apa yang patut anda buat? Telefon doktor anda. Beritahu bahawa anda tidak pasti sama ada sudah pecah air ketuban atau tidak. Tetapi terangkan bau atau warna cecair tersebut. Doktor mungkin meminta anda pergi ke kliniknya untuk pemeriksaan. Selain itu, air ketuban anda mungkin tidak pecah sehingga doktor atau kakitangan penjagaan kesihatan menebuk ketuban semasa di hospital.

2. Kontraksi: Membezakan antara kontraksi Braxton-Hicks (palsu) dan kontraksi bersalin sebenar mungkin mengelirukan. Biasanya kontraksi sebenar memperlihatkan corak tertentu dan kekal antara 30 hingga 70 saat.i Jika anda tidak pasti hubungilah doktor anda.

Sakit bersalin itu mengambil masa.

Peringkat pertama kelahiran – iaitu apabila anda mula rasa sakit nak bersalin disebabkan kontraksi tetapi belum bersedia untuk meneran – mungkin mengambil masa antara berjam-jam sehingga berhari-hari.ii Proses ini mungkin agak perlahan, tetapi ada beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk memudahkannya:

1. Mandi berendam (dengan kebenaran doktor, jika sudah pecah ketuban) atau mandi di bawah pancuran air.

2. Bersiar-siar di sekitar rumah

3. Bertukar kedudukan bila anda mula rasa tidak selesa

4. Cuba bernafas semasa kontraksi.

5. Minta seseorang menggerakkan bola tenis (dengan sedikit tekanan) pada bahagian bawah belakang untuk melegakan sakit.

6. Duduk di atas kerusi goyang atau bola bersalin.

7. Dengar muzik untuk menenangkan fikiran.

Proses ini dialami secara perlahan-lahan, kerana kadangkala si manja mengambil masa lebih lama untuk mempersiapkan diri sebelum keluar. Selagi dia selamat, pasukan penjagaan kesihatan akan membuat keputusan sewajarnya.

Banyak hospital menetapkan syarat agar bulu ari-ari (pubik) anda dicukur. Ramai ibu yang tidak tahu tentang perkara ini, dan mereka mungkin mahu bersiap sedia terlebih dahulu.

Anda mungkin berpeluh, menjerit dan mengerang semasa bersalin. Anda akan melakukan semua ini dan mungkin tidak ingat selepas bersalin, tetapi orang lain di dalam bilik akan mengingatkan anda tentang peristiwa yang berlaku pada suatu hari nanti.

Badan anda mungkin memerlukan sedikit masa untuk pulih

Selepas bersalin, anda mungkin mengalami beberapa perkara tidak diduga:

  1. Sakit selepas bersalin

    Anda mungkin rasa sakit selama beberapa hari. Uterus (Rahim) anda sedang mengecut. Sakit paling ketara semasa menyusu atau jika anda mengambil ubat untuk mengurangkan pendarahan. Jangan bimbang, ini perkara biasa dan akan hilang dalam masa beberapa hari.

  2. Pendarahan vagina yang banyak

    Anda akan mengalami apa yang kelihatan seperti darah haid yang banyak selepas bersalin, dan darah mungkin mengandungi darah beku kecil. Hubungi doktor jika lelehan tersebut berbau busuk, anda perlu menggunakan lebih daripada satu tuala wanita dalam sejam, mendapati darah beku lebih besar daripada bola golf, atau mengalami demam dengan suhu 38 darjah Celsius atau lebih.

  3. Panas dan sejuk

    Badan anda sedang menyesuaikan diri dengan paras darah dan hormon yang baharu; ini mungkin membuatkan anda berpeluh atau rasa sejuk.

  4. Terkencing dalam seluar

    Kadangkala inkontinens kencing dialami, terutamanya selepas proses bersalin yang berlarutan. Keadaan ini mungkin berlaku apabila anda bersin, batuk atau ketawa. Tanya doktor bila anda patut memulakan senaman kegel.

  5. Berat badan

    Anda mungkin tak sangka bahawa anda tidak kehilangan seluruh berat selepas bersalin. Anda mungkin kehilangan 5.9kg (termasuk berat bayi dalam kandungan, air ketuban dan plasenta). Anda juga akan kehilangan berat air sepanjang tempoh seminggu selepas itu.

  6. Bengkak kaki

    Kaki lazimnya bengkak selepas bersalin. Biasanya bengkak akan hilang dalam masa dua minggu akibat pengagihan semula cecair lebihan yang terbendung semasa hamil. Buah pinggang mengeluarkannya menerusi air kencing.iii

 

Namun segala penat lelah pasti berbaloi tatkala anda menatap wajah comel si manja anda.

 


 

Rujukan:
i
Tanda-tanda sakit nak bersalin: Ketahui apa yang patut dijangkakan. (18 Jun 2016,). Dipetik pada 10 Jun 2017, dari http://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/labor-and-delivery/in-depth/...
ii
Peringkat sakit bersalin dan kelahiran: Sayang, masanya sudah tiba! (2016, June 22). Dipetik pada 01 Jun 2017, dari http://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/labor-and-delivery/in-depth/...
iii
Masalah dalam seminggu selepas kelahiran. Dipetik pada 16 Jun 2017 dari http://www.health.govt.nz/your-health/pregnancy-and-kids/birth-and-after...