mendidik anak yang soleh, cara mendidik anak dengan betul, peranan ibu bapa mendidik anak

Siapa yang tidak mahukan anak yang mendengar kata, mudah dididik serta mempunyai tingkah laku baik? Ia impian setiap ibu bapa. Tetapi adakah anda tahu cara mendidik anak yang baik?

Jika anda sebagai ibu bapa mengetahui cara mendidik anak dengan betul, pastinya episod tingkah laku negatif melibatkan tantrum, tangisan atau jeritan sukar dipujuk boleh dielakkan.

Umumnya, keadaan emosi negatif seperti dikenali sebagai kelakuan agresif pasif 1.

Bergelar ibu bapa, sudah tentu akan ada ketikanya anda terpaksa berdepan cabaran dalam mendidik si manja 1 tahun ke atas. Apatah lagi jika cara didikan yang diberikan sedari kecil adalah salah, impaknya anak anda mungkin akan mempunyai tingkah laku yang agresif.

Untuk mendidik anak yang baik, ia perlu dimulakan sejak awal. Tindakan tersebut semestinya akan dapat membantu mereka untuk mengawal diri daripada bertindak secara agresif.

Jadi apakah cara mendidik anak dengan betul yang perlu diamalkan ibu bapa?

Sebelum persoalan itu terjawab, anda harus menyedari bahawa tanggungjawab mendidik anak terutamanya yang melibatkan kawalan emosi mereka memerlukan kesabaran yang tinggi.

Memahami Cara Mendidik Anak yang Baik

Seiring peredaran masa, mempunyai anak yang cemerlang dalam bidang akademik bukan lagi perkara besar untuk dibanggakan. Ini kerana setiap ilmu pengetahuan, boleh dimiliki di hujung jari. Teknologi semakin berkembang, bukan?

Sebaliknya, anak yang mendengar kata, mempunyai kawalan emosi stabil dan mempunyai tingkah laku positif adalah satu pengukur tanda kejayaan. Ibu bapa akan dianggap mengetahui cara mendidik anak dengan betul dan baik.

Berdasarkan penyelidikan, jika ibu bapa berjaya mendidik anak yang baik, mereka dikatakan mempunyai kawalan emosi diri akan dapat menyesuaikan diri dan bersosial dengan lebih baik ketika dewasa kelak 2.

Kajian menunjukkan kanak-kanak dengan keupayaan kawalan kendiri seperti bersabar dan tidak mementingkan diri dikatakan akan mempunyai kemahiran emosi yang lebih baik berbanding mereka kurang sifat sabar.

Bukan sekadar itu, mereka akan membesar menjadi individu yang menepati masa, tegas, mampu menangani konflik serta dapat memenuhi matlamat dan berjaya mencapai kejayaan dalam kehidupan.

Mendidik Anak yang Baik: Kenal Pasti Keadaan Anak Dengan Kesukaran Mengawal Emosi

Pastinya tiada ibu bapa yang mahukan si kecil dengan perangai agresif sukar untuk dikawal, bukan?

Namun pastinya anda pernah melihat anak melakukan perbuatan negatif saat emosinya terganggu. Sering kali perbuatan yang dilakukan itu adalah cara mereka untuk menunjukkan kemarahan 3.

Antara sikap agresif pasif yang boleh dikenal pasti seperti:

  • Mencubit kanak-kanak lain

  • Menarik rambut kanak-kanak lain

  • Membaling atau mencampakkan barangan

  • Mengamuk

  • Menangis berjam-jam

  • Menconteng buku

  • Menepuk atau cuba mencederakan muka ibu bapa atau pengasuh

Ibu bapa dengan anak dengan sikap agresif seperti yang dinyatakan pastikan akan berasa susah hati dan risau dengan tingkah laku tersebut

Tetapi apakah cara bagi mengatasinya?

5 Cara Mendidik Anak Dengan Betul: Selamat Tinggal Sifat Agresif!

Seperti yang dikatakan tadi, untuk mengendalikan tingkah laku agresif pada anak ia perlu dilakukan sedari kecil.

Walaupun ia mungkin bukan satu cara tepat, tetapi 5 cadangan berikut mungkin akan dapat membantu anda untuk mengetahui cara membimbing dan mendidik anak yang baik.

1. Kenal pasti punca pencetus tingkah laku agresif
Sebagai ibu bapa anda perlu bertanyakan kepada diri apakah perkara yang mungkin mencetuskan tingkah laku agresif itu 4.

Adakah ia melibatkan sikap anda sendiri atau individu di sekelilingnya, atau situasi persekitarannya yang menjadi pencetus? Mungkinkah anak anda berada dalam keadaan terlalu letih ataupun tidak sihat secara fizikal?

Berada dalam keadaan kemahuan ditolak, tidak mampu melakukan sesuatu aktiviti fizikal atau situasi tergesa-gesa boleh menimbulkan rasa kecewa sekali gus mengakibatkan perbuatan agresif.

2. Fahami anak anda
Siapa lagi individu yang akan lebih memahami anak anda jika bukan ibu bapa? Jadi manfaatkan apa yang anda tahu tentang perangai, sikap mahupun tahap sensitiviti mereka 6.

Sebagai contoh, jika anda mengetahui bahawa anak anda mudah tercetus kemarahannya pada waktu pagi terutamanya selepas bangun tidur, jadi hindari daripada mengundang rasa marahnya pada waktu itu.

3. Elakkan pergaduhan fizikal
Adalah satu perkara normal untuk anak kecil berselisih faham saat bermain. Jika ia perselisihan kecil, awasi anak anda dan biarkan mereka menyelesaikannya sendiri.

Pun begitu, andainya ia melibatkan pergaduhan fizikal dan tidak berhenti walaupun ditegah, anda perlu masuk campur 6 untuk menghentikannya. Asingkan tempat sehingga mereka bertenang.

Pastikan mereka menyedari bahawa tidak kira siapa yang mulakan pergaduhan, ia bukan sebab untuk mencederakan diri masing-masing. Ini adalah satu cara mendidik anak dengan betul yang harus diamalkan setiap ibu bapa.

Dalam masa yang sama anda juga harus mengelakkan sentuhan fizikal sebagai satu bentuk hukuman. Elakkan ya wahai ibu bapa sekalian.

4. Bantu anak mengekspresikan diri mereka
Sekiranya anak mempunyai kemahiran bertutur, bantu mereka untuk menjelaskan punca kemarahan yang dialami.

Sebagai contoh, jika anda dapat meneka sebabnya tetapi anak anda tidak dapat meluahkannya, lakukannya untuk mereka, seperti mengungkapkan, “Mama faham Husna marah kerana tidak boleh bermain dengan Irdina, tapi hari sudah terlalu lewat”, atau apa juga alasan sekali pun.

Galakkan mereka menyatakan secara verbal berbanding meluahkan secara fizikal 7.

5. Jadi contoh terbaik
Anda pasti mengetahui bahawa ibu bapa adalah cerminan kepada tingkah laku dan sikap anak-anak, bukan?

Sekiranya situasi sosial dalam keluarga lebih cenderung kepada pertengkaran serta pergaduhan fizikal di hadapan anak-anak, percayalah mereka cenderung untuk mengikutinya 8.

Maka untuk mendidik anak yang baik, ia harus dimulakan dalam diri anda terlebih dahulu. Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan dirinya sendiri tersilap!

Seandainya cara mendidik anak dengan betul yang dikongsikan di atas masih tidak berjaya mengubah tingkah laku mereka, dapatkan nasihat pakar psikologi kanak-kanak untuk membantu anak anda.

 

 

REFERENCES:

1. What is passive aggressive behaviour? (2011). Retrieved July 14, 2020 from:
https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/15125698/

2. Parental Socialization of Emotion (2006). Retrieved July 14, 2020 from:
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC1513625/

3. Violent Behavior in Children and Adolescents (2015). Retrieved July 14, 2020 from:
https://www.aacap.org/AACAP/Families_and_Youth/Facts_for_Families/FFF-Guide/Understanding-Violent-Behavior-In-Children-and-Adolescents-055.aspx

4. Seven Positive Strategies for Managing Aggressive Behavior in Young Children (2016). Retrieved July 14, 2020 from:
https://www.kidpower.org/library/article/7-strategies-for-managing-aggressive-behavior-in-young-children/

5. Helping Young Children Channel Their Aggression. Retrieved July 14, 2020 from:
https://www.zerotothree.org/resources/12-helping-young-children-channel-their-aggression

6. 10 Tips to Prevent Aggressive Toddler Behavior (2018). Retrieved July 14, 2020 from:
https://www.healthychildren.org/English/ages-stages/toddler/Pages/Aggressive-Behavior.aspx

7. Ways to Deal With Your Child’s Aggressive Behavior (2018). Retrieved July 14, 2020 from:
https://health.clevelandclinic.org/6-ways-to-deal-with-your-childs-aggressive-behavior/

8. Setting a Good Example for Your Kids (2015). Retrieved July 14, 2020 from:
https://www.healthyfamiliesbc.ca/home/articles/setting-good-example-your-kids