Apabila kanak-kanak boleh mengingati aktiviti-aktiviti atau perkara-perkara yang berlaku di sekeliling mereka, ia akan membantu mereka belajar dengan lebih baik. Pembelajaran tersebut akan diingat dan boleh digunakan dalam pengalaman baru yang mungkin dapat membantu mereka dalam kehidupan seharian mereka.

Membina asas untuk ingatan anak anda

Membina asas untuk ingatan anak anda

Semasa kita membesar, kita belajar dan membina kemahiran yang berbeza. Semua kemahiran yang dipelajari memerlukan memori yang baik untuk mengingatinya. Ini merupakan teras asas bagi pembesaran kanak-kanak untuk membina perkembangan berturut-turut bagi mencapai kejayaan pada masa hadapan.

Kanak-kanak di peringkat prasekolah mula mengenali perkara-perkara yang jelas seperti warna, nombor dan huruf melalui maklumat yang diingat melalui proses pembelajaran. Apabila masa berlalu dan maklumat yang diberikan kepada mereka berulang-kali, maklumat yang tersimpan dalam ingatan jangka pendek mereka akan bertukar menjadi ingatan jangka panjang mereka. Selepas itu, mereka akan dapat menggunakan maklumat ini daripada ingatan mereka untuk kehidupan seharian mereka. Sebagai contoh, apabila anda menunjuk pada warna hijau, kanak-kanak harus dapat menjawabnya dengan segera tanpa teragak-agak tentang warna itu. Walau bagaimanapun, dengan kewujudan pelbagai maklumat, kanak-kanak akan dapat belajar untuk mengingati maklumat berguna yang boleh digunakan pada masa hadapan, seperti nama mereka sendiri, rupa bentuk ibu bapa mereka, mainan kegemaran, makanan kegemaran, dan lain-lain. Maklumat seperti pakaian seragam guru mereka pada 3 hari yang lalu, makanan yang dimakan 2 hari yang lalu, dan sebagainya, boleh dipadam daripada ingatan mereka.

Sebelum kanak-kanak boleh menggunakan ingatan mereka, mereka mesti dapat memberi tumpuan kepada maklumat yang perlu diingat dan disimpan dalam sistem ingatan mereka. Oleh itu, apabila kita mahu kanak-kanak belajar atau mengingati sesuatu, kita perlu berusaha mendapatkan perhatian atau tumpuan mereka terhadap sesuatu perkara yang kita mahu mereka belajar sejak awal lagi.

Di samping itu, memori akan tersimpan di dalam otak apabila perkara-perkara dilakukan berulang kali1. Oleh itu, jika ingin kanak-kanak mengingati perkara-perkara tertentu, pengulangan dapat membantu mereka mengingat, seperti mengajar mereka untuk mempelajari perkataan baharu. Apabila kanak-kanak mendengarnya, otak mereka akan mengingati dan menggunakannya sebagai sebahagian daripada komunikasi pada masa hadapan.

aktiviti untuk membantu kanak-kanak mengembangkan ingatan yang lebih baik

aktiviti untuk membantu kanak-kanak mengembangkan ingatan yang lebih baik

Berikut adalah beberapa aktiviti yang disyorkan kepada anda dan anak-anak anda untuk membantu mereka membina ingatan yang lebih baik:

Aktiviti-aktiviti yang disyorkan untuk kanak-kanak berusia 1 tahun ke atas.
Butiran
Adakan satu rutin yang tetap

Ibu bapa boleh menentukan tugasan untuk anak-anak mereka lakukan dalam rutin harian mereka. Bermula dari mereka bangun sehingga mereka masuk tidur. Ini akan membantu anak-anak mengingati perkara-perkara yang perlu dilakukan setiap hari seperti mengemaskan katil sendiri, tidur, mencuci muka, memberus gigi, makan, dan sebagainya.

Ajar mereka untuk menyimpan mainan

Ia adalah perkara asas yang sering diharapkan oleh ibu bapa terhadap anak-anak supaya menyimpan mainan mereka sendiri selepas bermain. Namun, perkara ini tidak berlaku dengan sendirinya, ibu bapa mesti memupuk tabiat dan amalan ini dengan anak-anak sejak kecil dengan menjadikan ini sesuatu yang menyeronokkan dan mudah untuk diikuti. Contohnya, mengingatkan mereka mainan perlu disimpan di tempat yang betul. Ibu bapa juga boleh melekatkan gambar mainan di hadapan laci bagi membantu mereka. Ini akan membantu kanak-kanak mengingat dan mengikut apa yang anda telah beritahu kepada mereka. Apabila anak-anak menyimpan semua mainan dengan baik, ibu bapa harus memuji atau memberi ganjaran kepada mereka sekali-sekala untuk menggalakkan tabiat ini.

Latihan ingatan melalui gambar-gambar

Permainan ini menguatkan ingatan dan perkembangan bahasa. Kaedah permainan ini adalah untuk menunjukkan anak-anak dengan gambar-gambar seperti kucing, kuda, burung dan anjing kemudian beritahu anak-anak apakah gambar-gambar tersebut. Anda juga boleh mengajar mereka binatang yang mana satu boleh menyalak dan yang boleh terbang, dan sebagainya. Selepas itu, tutup buku tersebut dan bantu anak-anak mengingati semula dengan soalan seperti 'binatang yang manakah menyalak', 'binatang yang manakah boleh terbang?', dan sebagainya. Anak-anak akan imbas kembali maklumat yang diingat untuk menjawab soalan-soalan yang ditanya.

Permainan objek tersembunyi

Sediakan 3 cawan berwarna dan pilih satu mainan yang kecil. Kemudian tutupkan mainan itu di hadapan anak-anak anda dengan salah satu cawan berwarna. Kemudian alih dan tukar kedudukan cawan-cawan. Selepas itu, minta anak-anak meneka cawan yang mana mengandungi mainan yang tersembunyi. Melalui permainan ini, anak-anak anda akan mempelajari kemahiran pemerhatian, menganalisis serta kemahiran mengingat bagi membantu mereka mencari mainan itu.

Menguatkan ingatan mereka melalui nyanyian

Kanak-kanak akan menikmati dan berasa seronok apabila terdapatnya lagu dan irama. Oleh itu, mereka akan dapat mengingat perkara-perkara dengan lebih baik apabila anda menjadikannya suatu pengalaman yang seronok bagi mereka. Contohnya, anda boleh memilih satu lagu dan menyanyikannya bersama dengan anak-anak anda untuk melatih ingatan mereka. Yang pentingnya pilihlah lagu yang anak-anak suka. Anda juga boleh merangsang ingatan mereka dengan meninggalkan beberapa lirik lagu untuk anak-anak melengkapkan lagu tersebut.

Rujukan:
1 https://lesley.edu/article/stages-of-memory

MYS-01/10P03/18276