melegakan sakit belakang semasa mengandungBahagian belakang anda mungkin merasai tekanan akibat perut dan bayi dalam kandungan anda yang semakin membesar. Dapatkan maklumat tentang cara melindungi dan melegakan sakit belakang semasa hamil.

Sakit belakang memang tidak asing bagi ibu mengandung. Malah, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada mereka mengalami sakit belakang.1 Anda boleh mengalaminya pada bila-bila masa dalam tempoh sembilan bulan, tetapi ia kemungkinan besar berlaku pada trimester ketiga, semasa kandungan bayi anda paling berat. Sebenarnya terdapat beberapa cara mudah untuk melegakan kesakitan.

Apa Yang Menyebabkan Sakit Belakang Semasa Hamil?2-3

Anda mungkin rasa lega apabila memahami apakah punca kesakitan umum berkaitan sakit belakang anda.

  • Pertambahan berat

    Bayi dalam kandungan anda yang semakin besar membebankan bahagian bawah belakang badan anda.

  • Hormon

    Peningkatan hormon kehamilan mempengaruhi ligamen dan sendi dalam ruang pelvis, yang menjadi semakin lembut dan longgar untuk memudahkan proses kelahiran, tetapi turut mengurangkan sokongan terhadap bahagian belakang anda.

  • Graviti

    Sambil perut anda bertambah besar, pusat graviti anda berubah dan beransur-ansur beranjak ke hadapan. Perubahan teras ini menyebabkan kesakitan pada bahagian bawah belakang.

  • Kelemahan Otot

    Semasa hamil otot abdomen yang menyokong tulang belakang anda meregang dan mungkin menjadi semakin lemah.

Cara Melegakan Sakit Belakang Semasa Kehamilan2-3

Hakikatnya, sedikit perubahan boleh memberikan kelegaan besar. Anda boleh mencuba beberapa cara berikut untuk melegakan sakit belakang:

  • Bersenam

    Berbincang dengan doktor anda tentang senaman sesuai yang boleh anda lakukan untuk menguatkan otot pada bahagian belakang dan abdomen anda. Senaman regangan bahagian bawah belakang juga boleh membantu.

  • Menyokong belakang anda

    Letakkan bantal kecil di bahagian bawah belakang semasa duduk untuk sokongan tambahan. Tilam yang keras juga akan memberi sokongan badan dengan lebih baik. Jika anda tidak bercadang untuk membeli yang baharu, papan yang diletakkan di antara tilam lembut dan kotak spring boleh memberikan sokongan.

  • Pakai kasut yang memberi sokongan lengkung kaki yang kukuh

    Kalau boleh jangan pakai kasut bertumit tinggi.

  • Berhati-hati apabila mengangkat barang

    Jangan bongkok semasa mengambil sesuatu, bengkokkan lutut dan cangkung untuk memindahkan beban daripada belakang kepada kaki.

  • Pantau kedudukan tidur anda

    Kedudukan tidur paling sesuai untuk bahagian belakang anda ialah mengiring ke sebelah kiri dengan bantal di antara lutut.

  • Panaskan atau dinginkan

    Letakkan pad pemanas pada penetapan haba paling rendah di bahagian bawah belakang anda. Bagi sesetengah wanita, pek dingin juga berkesan. Pek boleh dibaluti tuala agar tidak terlalu panas atau sejuk untuk digunakan.

  • Urut belakang secara lembut

    Minta suami tersayang untuk mengurut belakang atau dapatkan perkhidmatan tukang urut yang profesional.

  • Tanya tentang ubat dan pilihan alternatif

    Tanya doktor jika anda boleh mengambil ubat seperti asetaminofen untuk membantu melegakan gejala anda. Anda juga boleh berbincang dengan doktor anda tentang perubatan alternatif termasuk rawatan akupunktur dan kiropraktik.

Beberapa Tanda Amaran Sakit Belakang Yang Perlu Diawasi Semasa Hamil4

Walaupun sakit belakang ringan satu perkara biasa semasa hamil, hubungi doktor anda serta-merta jika sakit belakang menjadi teruk atau disertai dengan

  • Pendarahan vagina

  • Suhu atau demam tinggi

  • Rasa pedih semasa buang air kecil

 


 

Rujukan:
1
Katonis P, Kampouroglou A, Aggelopoulos A, Kakavelakis K, Lykoudis S, Makrigiannakis A, Alpantaki K. Sakit Belakang Bawah Berkaitan Kehamilan. Hippokratia. 2011 Jul; 15(3):205-10..
2
3
4
Mayo Clinic: 7 Cara untuk Melegakan Sakit Belakang Semasa Mengandung http://www.mayoclinic.org/healthy-living/pregnancy-week-by-week/in-depth...