pembengkakan kehamilan: bagaimana melegakan bengkakSedikit kesembapan semasa hamil adalah normal, terutama sekali pada buku lali, kaki, dan tangan. Berikut ialah perkara yang perlu dipantau, dan cara mudah untuk mengurangkan bengkak.

Anda rasa lebih bengkak daripada biasa? Bengkak semasa mengandung adalah sangat biasa. Tangan, kaki dan juga muka anda sembap, tetapi kaki dan buku lali paling teruk. Sungguhpun kesembapan boleh dialami pada bila-bila masa, paling ketara pada bulan kelima dan boleh bertambah dalam trimester ketiga.

Kesembapan atau bengkak ini (juga dinamakan edema) adalah normal. Keadaan ini disebabkan tambahan darah dan bendalir – kira-kira 50 peratus lebih daripada biasa – yang dikeluarkan oleh badan anda bagi memenuhi keperluan bayi dalam kandungan dan membantu badan anda ‘mengembang’ bila bayi dalam kandungan anda membesar. Kesembapan biasanya hilang selepas kelahiran. Anda boleh mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan kesembapan.

Ketahui risiko kesembapan

Pelbagai faktor boleh mempengaruhi kesembapan yang anda rasai. Apa yang menjadikannya lebih teruk?

  • Suhu tinggi
  • Terlalu lama berdiri
  • Kekurangan kalium
  • Terlalu banyak kafein
  • Terlalu banyak natrium

Kurangkan kesembapan semasa hamil menerusi diet

Disebabkan faktor-faktor risiko di atas, sebaik-baiknya makan makanan tinggi kalium (contohnya pisang) dan kurangkan kafein dan natrium (garam).

Minum lebih, jangan kurang

Minum air boleh ‘membersihkan’ sistem anda dan mengurangkan pembendungan bendalir. Pakar syorkan kira-kira 10 cawan (2.3 liter) sehari1.

Kurangkan berdiri

Jika kesembapan menjadi masalah kepada anda, elakkan berdiri lama dan naikkan kaki jika boleh.

Tidur mengiring

Cuba tidur mengiring ke kiri untuk melepaskan tekanan ke atas vena kava inferior, iaitu urat besar yang bertanggungjawab mengangkut darah dari bahagian bawah badan anda ke jantung.

Pilih pakaian yang selesa

Gantikan kasut tumit tinggi dengan kasut yang selesa. Dan tanya doktor sama ada stoking kompresi boleh beri sokongan tambahan untuk mengurangkan sembap.

Kesejukan boleh melegakan

Untuk mengurangkan kesembapan dan rasa tidak selesa, rendam bahagian yang sembap dalam air sejuk. Anda boleh cuba berdiri atau berjalan dalam kolam – tekanan air boleh membantu memberi sedikit kelegaan sementara daripada kesembapan1.

Pantau gejala kesembapan untuk beritahu doktor

Sungguhpun sesetengah kesembapan memang dijangkakan bila anda mengandung, bengkak mengejut di bahagian muka dan tangan atau keliling mata boleh menandakan keadaan serius dinamakan preeklampsia.2 Segera berjumpa doktor jika anda mengalaminya. Awasi bengkak yang menyakitkan pada sebelah kaki sahaja, kerana ia menandakan darah beku, juga dikenali sebagai trombosis vena dalam. Anda perlu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan daripada doktor.
Namun, kebanyakan kesembapan menandakan perubahan biasa yang dialami oleh badan anda bila hamil. Malah, kira-kira 25 peratus tambahan berat badan semasa mengandung adalah disebabkan bendalir tambahan.2

 


 

Rujukan:
1
2
Kesembapan Semasa Mengandung – Persatuan Kehamilan Amerika http://americanpregnancy.org/pregnancy-health/swelling-during-pregnancy/