Asid folik

Seringkali kita terbaca atau terdengar cerita tentang wanita yang berjaya hamil dengan asid folik bukan?1

Ini kerana memang benar nutrisi yang turut dikenali dengan nama folat atau vitamin B9 itu mempunyai manfaat yang diperlukan oleh ibu hamil!1

Persoalannya, adakah nutrien ini memang benar boleh membantu anda untuk mengandung? Jika ya, berapa banyak pengambilan asid folik diperlukan oleh ibu hamil? Teruskan membaca artikel ini untuk tahu jawapannya. 

 

Nutrisi paling penting sebelum & semasa hamil

Sebagai pelindung pertama bayi dalam kandungan, bakal ibu perlu mengambil folat yang mencukupi setiap hari dari sebelum dan semasa hamil.

Ia bertujuan melindungi proses perkembangan bayi dalam kandungan anda dan membantu mereka untuk membina sistem saraf yang sihat.2

Folat ialah sejenis Vitamin B (Vitamin B9) yang membantu badan untuk membina sel darah merah dan merangsang pembahagian sel yang sihat.3

Ia juga adalah nutrien yang penting terutama sekali ketika 28 hari pertama kehamilan iaitu sewaktu sistem saraf pusat bayi dalam kandungan anda mula berkembang.3

Kebanyakan kes kecacatan pada otak dan saraf tunjang berlaku pada tempoh ini, apabila si ibu kurang mengambil nutrien folat ketika hamil.3

Para ibu sekalian, nutrien ini juga sudah pasti akan memberi manfaat kepada badan anda! 

Ini kerana seperti zat besi, folat juga berfungsi membantu pembentukan sel darah merah apabila isipadunya meningkat ketika hamil.4

Dalam pada itu, asid folik untuk ibu mengandung juga mungkin dapat mencegah risiko komplikasi kelahiran, seperti pra-eklampsia dan kelahiran awal.2

Asid folik

 

Berapa banyak asid folik wanita hamil kena ambil?

Untuk pengetahuan anda semua, folat mungkin boleh dan perlu diambil oleh setiap individu. Namun, golongan wanita lebih diutamakan untuk mengambilnya.1

Ini kerana ia adalah antara nutrisi yang paling popular dan penting untuk tujuan kehamilan.1

Disebabkan itu pula, ada saranan atau panduan pengambilan asid folik untuk ibu mengandung: 

Kadar pengambilan sebelum wanita hamil

Kadangkala, wanita yang bujang mahupun belum hamil mungkin akan kurang peduli tentang nutrien ini, sedangkan ia juga amat penting untuk tubuh.

Wanita dalam usia kehamilan atau merancang untuk hamil boleh mengambil sekitar 400 mcg folat sehari.3

Bagaimana pula jika terlebih ambil? Sebenarnya, mungkin tiada masalah untuk anda ambil lebih sedikit selagi ia tidak melebihi 1,000 mcg sehari.2

Agar lebih pasti tentangnya, dapatkan nasihat dan maklumat daripada doktor atau pakar diet!

Kadar pengambilan semasa wanita hamil

Pelbagai kajian telah menyarankan agar semua wanita hamil mengambil suplemen secara harian pada kadar yang ideal.3

Ramai pakar sependapat bahawa pengambilan folat yang mengandungi 400 ke 600 mcg di awal usia kehamilan adalah sangat penting.2

Anda boleh merujuk kepada pakar bagi maklumat dan nasihat lebih lanjut tentang asid folik untuk ibu mengandung.

Sentiasa berbincang dan berkonsultasi dengan mereka sebelum menambahkan sebarang suplemen ke dalam diet anda.

Bagaimana pula jika anda hamil anak kembar?

Jika difikirkan secara logik akal, kehamilan kembar memerlukan anda untuk mendapatkan lebih banyak nutrisi termasuk juga folat.

Jika begitu pula, adakah ini bermaksud kehamilan kembar dua perlu sekali ganda daripada jumlah yang sepatutnya dan seterusnya? Tidak!

Sebenarnya, anda mungkin hanya perlu mendapatkan jumlah yang serupa tidak kira hamil seorang atau kembar dua atau lebih.5

Pun begitu, pengambilan asid folik untuk ibu mengandung kembar mungkin juga akan ditingkatkan bergantung kepada keperluan si ibu dan kandungan masing-masing.5

Usah fokus kepada vitamin B9 ini sahaja, nutrien lain termasuk zat besi juga mustahak untuk mengelakkan komplikasi seperti anemia yang sangat lazim ketika sedang hamil.5

 

Sumber asid folik dalam makanan & minuman

Khusus buat para ibu hamil, penuhkan dapur anda dengan makanan enak yang tinggi dengan kandungan folat seperti:6

  • Sayur-sayuran (seperti bayam, brokoli dan asparagus)

  • Buah-buahan (seperti avokado, betik dan mangga)

  • Kekacang (seperti kacang kuda dan kacang hijau)

  • Telur haiwan terutama ayam atau itik

  • Makanan diperkaya dengan folat (seperti roti, pasta dan bijirin)

  • Makanan daripada hasil laut (seperti ikan, sotong dan udang).

  • Suplemen dan makanan tambahan lain

Pun begitu, pengambilan suplemen termasuk folat, zat besi dan lain-lain perlu dirujuk kepada doktor atau pakar diet terlebih dahulu untuk lebih pasti kadar yang ideal buat ibu mengandung.6

Asid folik

 

Selain daripada itu, apa lagi nutrien yang penting?

Selain daripada pengambilan lebih banyak folat ketika hamil, wanita turut perlu mengambil nutrisi yang lain agar kandungan anda dapat membesar dengan baik.1

Pertama, anda perlu lebih banyak mengamalkan diet yang tinggi dengan unsur Docosahexaenoic Acid (DHA) untuk perkembangan otak si kecil di dalam kandungan.7

Kemudian, usah lupa untuk mengambil makanan, minuman atau suplemen dengan unsur Milk Fat Globule Membrane (MFGM) yang juga amat penting ketika mengandung.8

Dalam pada itu, anda juga boleh menambahkan susu untuk ibu hamil yang bukan sahaja sarat nutrien di atas, malah turut kaya dengan pelbagai nutrisi penting.

Bagi mendapatkan pelan lengkap tentang pemakanan ketika hamil, sila berjumpa dan berbincang dengan doktor.

 

Sertai Enfamama A+ Club sekarang untuk mendapatkan lebih banyak tip, sampel PERCUMA selain beberapa manfaat menarik lain! Klik di sini.

Sertai Enfamama A+ Club


Rujukan:
  1. Folate (folic acid), https://www.mayoclinic.org/drugs-supplements-folate/art-20364625, Accessed July 4 2023.

  2. Folic acid, https://www.marchofdimes.org/find-support/topics/pregnancy/folic-acid, Accessed July 4 2023.

  3. Vitamin B9 (Folic acid), https://www.mountsinai.org/health-library/supplement/vitamin-b9-folic-acid, Accessed July 4 2023.

  4. Iron, https://nutritionfacts.org/topics/iron/, Accessed July 4 2023.

  5. Twin Pregnancy: Answers from an Expert, https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/staying-healthy-during-pregnancy/twin-pregnancy-answers-from-maternal-fetal-medicine-specialist, Accessed July 4 2023.

  6. Folate (Folic Acid) – Vitamin B9, https://www.hsph.harvard.edu/nutritionsource/folic-acid/, Accessed July 4 2023.

  7. DHA and Pregnancy, https://nutritionfacts.org/audio/dha-and-pregnancy/, Accessed July 4 2023.

  8. Milk Fat: What the MFGM?, https://badgut.org/information-centre/a-z-digestive-topics/milk-fat-what-the-mfgm/, Accessed July 4 2023.