Anak belajar, tip belajar

Proses pembelajaran ada ketikanya menjadi satu keadaan yang menyukarkan bagi sesetengah kanak-kanak. Jadi adakah terdapat cara untuk ibu bapa menggalakkan anak belajar dengan lebih bersemangat?

Peranan Ibu Bapa Dalam Menggalakkan Anak Belajar

Apabila anak mula melangkah ke alam persekolahan, tanggungjawab mereka untuk belajar akan mula meningkat.

Ada sesetengah kanak-kanak mempunyai semangat untuk belajar yang tinggi. Ini kerana, tanpa perlu disuruh atau dipaksa, mereka akan belajar dan menyiapkan tugasan rumah yang diberikan. Pun begitu, terdapat juga kanak-kanak dengan sikap sebaliknya.

Disebabkan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan bagi memastikan anak belajar bukan dengan hanya menyiapkan kerja rumah semat-mata, tetapi turut berjaya dalam bidang akademik 1.

Namun, sebaiknya ia tidak dilakukan dengan cara paksaan kerana terdapat perbezaan besar antara memaksa dan memotivasikan anak.

Tip belajar penting yang harus diingat ibu bapa adalah untuk mendorong anak menjadi lebih bermotivasi dengan cara positif agar tabiat itu dapat bertahan lama.

Sebaliknya, memaksa anak melakukan tugasan rumah atau belajar hanya akan mengakibatkan motivasi diri mereka lebih sukar untuk dicapai.

Tingkatkan Motivasi Anak Belajar

Jadi apa yang boleh anda lakukan apabila melihat anak tidak mempunyai motivasi untuk belajar?

Bagi membantu anda, lihat 7 tip belajar yang disenaraikan di bawah ini bagi membantu anak belajar dengan lebih bersemangat.

1. Tetapkan persekitaran pembelajaran yang sesuai

Kita sedia tahu setiap rumah adalah berbeza. Tetapi bagi menggalakkan anak lebih bermotivasi, adalah perlu untuk anda menyediakan ruang yang tenang dan selesa untuk mereka belajar 2.

Sebaiknya, pembelajaran di rumah dilakukan di ruang keluarga yang terbuka. Sebagai contoh, ruang rehat atau ruang makan.

Kedua-dua ruang tersebut lebih bersesuaian berbanding bilik tidur, di mana ia boleh menyebabkan anak berasa dipinggirkan dan pengawasan sukar dilakukan.

Ruangan yang disediakan itu mestilah:

  • Tenang dan tidak bising ketika pembelajaran dilakukan

  • Mempunyai isyarat internet, jika perlu

  • Terdapat individu dewasa yang boleh mengawasi anak ketika menggunakan internet (bergantung pada usia)

2. Bantu anak merasai kejayaan

Perasaan berjaya itu tidak terhad apabila sesuatu tugasan selesai. Dengan sedikit bantuan daripada anda ketika anak sedang belajar, mereka boleh mempunyai perasaan positif sepanjang pembelajaran berlangsung 3.

Misalnya, jika anak perlu menulis karangan, anda mungkin boleh menyediakan draf penulisan yang diperlukan. Sokongan tambahan itu dapat membantunya berasa lebih terlibat dalam proses penulisan tersebut.

Dalam masa yang sama, ia dapat membantu membina keyakinan diri mereka.

3. Tip belajar: Berkomunikasi dengan anak

Komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak adalah perkara penting yang dapat mengukuhkan jalinan kasih sayang. Ia juga merupakan simbol keprihatinan dalam keluarga.

Jadi, anda digalakkan untuk sentiasa memulakan dan mengakhiri hari anak dengan beberapa soalan mudah 2.

Antara soalan yang boleh diajukan semasa anak mula belajar, seperti:

  • Apa yang akan anda pelajari hari ini?

  • Apa sasaran atau matlamat pembelajaran anda?

  • Bagaimana anda akan habiskan masa belajar hari ini?

  • Apa sumber yang anda perlukan?

  • Apa sokongan yang anda perlukan?

Apabila melihat anak selesai belajar, mungkin anda boleh bertanya pula soalan seperti:

  • Apa yang telah anda pelajari hari ini?

  • Apa perkara yang paling mencabar? Pastinya anda akan dapat mencari jalan bagi mengatasi masalah tersebut jika ia muncul lagi.

  • Pertimbangkan 3 perkara yang berjalan lancar hari ini. Apakah ia dan mengapa?

  • Adakah anda okay? Perlukah anda bertanyakan sesuatu kepada guru nanti?

  • Adakah anda memerlukan sesuatu untuk menjadikan pembelajaran pada esok hari agar lebih berjaya?

Soalan yang diajukan itu seperti menyibukkan diri, kan? Tetapi sebagai ibu bapa tiada istilah menyibuk apabila ia membabitkan diri anak-anak.

Malahan, soalan yang ditanya membolehkan anak belajar untuk:

  • Memproses arahan yang diterima daripada guru

  • Membantu mereka mengatur dan menetapkan keutamaan

Walaubagaimanapun, waktu untuk anda bertanyakan soalan adalah bergantung kepada tahap keperluan anak.

4. Kembangkan cara pemikiran

Jika anak melakukan sesuatu tetapi tidak memberikan hasil yang memberangsangkan, elak daripada menyuruh anak menganggap apa yang sudah berlaku sebagai sejarah.

Sebaliknya, berbincang tentang langkah terbaik yang boleh diambil bagi mengelakkan perkara sama berulang kembali 3. Tindakan itu sekali gus membantu mereka untuk bergerak ke hadapan dan bukannya berasa disekat.

Fokus tentang ‘masa hadapan’ dapat membantu anak mengembangkan ‘growth mindset’. Ia dapat menanamkan kepercayaan bahawa mereka boleh menjadi lebih baik dengan berlatih.

Sudah tentu ia adalah bentuk pemikiran yang lebih bermotivasi berbanding ‘fixed mindset’, iaitu kepercayaan apabila mereka tidak hebat dalam sesuatu perkara dan selamanya tidak akan dapat menguasainya.

5. Mengenal pasti halangan

Pastinya terdapat faktor yang menjadi punca motivasi anak belajar merosot 4. Tapi dengan mencari puncanya, ia akan dapat membantu anda dan anak untuk mengenal pasti cara mengatasi halangan tersebut.

Beberapa sebab kurangnya motivasi mungkin berpunca daripada:

  • Pengetahuan lemah terhadap bahan pembelajaran

  • Tugasan kerja yang kurang mencabar

  • Tugasan kerja tidak bersesuaian dengan cara pembelajaran anak

  • Kegelisahan mengenai persekolahan

  • Keyakinan diri yang rendah

  • Tekanan persekitaran

Jika perlu, anda boleh berjumpa dengan guru mereka dan berbincang tentang cara terbaik untuk membantu meningkatkan motivasi anak.

6. Membina kekuatan

Seterusnya, tip belajar yang boleh ibu bapa cuba adalah dengan mengenal pasti kekuatan anak dan berikan tumpuan pada aspek tersebut.

Kegagalan yang berterusan pastinya tidak memotivasikan diri. Bahkan, apabila kelemahan menjadi fokus utama, keyakinan diri dan motivasi sudah tentu akan menurun.

Jika anak lebih berjaya dalam bidang bukan akademik, anda boleh bekerjasama untuk menentukan elemen kejayaan tersebut.

Mungkin anda dan anak dapat merumuskan resepi untuk berjaya dan menerapkannya dalam persekitaran berkaitan akademik.

7. Mengiktiraf kejayaan

Tidak kira bagaimana anak melakukannya, anda boleh cari sesuatu yang dapat mengungkapkannya secara positif dan bukan rekaan semata-mata bagi menggalakkan anak belajar lebih rajin 3.

Sebagai contoh, “Gaya penulisan kamu semakin baik”, atau “Kamu menghasilkan karangan yang baik”.

Kepentingan DHA & MFGM Dalam Pemakanan

Selain daripada memberikan sokongan secara fizikal mahupun emosi, aspek pemakanan juga penting dalam memastikan anak memperolehi motivasi untuk belajar. Tetapi bagaimana?

Caranya mudah sahaja dengan memberikan anak makanan dan susu yang diperkaya dengan DHA dan MFGM. Kenapa?

DHA adalah sejenis asid lemak omega-3. Ia terdapat dalam bentuk aktif, seperti daripada pemakanan ikan atau terbentuk melalui perubahan asid-alfa-linoleik (ALA) dan asid ekosapentaenoik (EPA) 5.

DHA penting untuk kanak-kanak dalam tempoh pertumbuhan dan kematangan otak.

Berdasarkan beberapa kajian, peningkatan kognitif dan tingkah laku terhasil daripada makanan mahupun suplemen dengan asid lemak tak tepu termasuklah DHA 6.

Pun begitu, kebiasaannya pengambilan DHA dalam kalangan kanak-kanak adalah rendah. Mungkin ia juga menjadi antara faktor mengapa anak anda kurang bermotivasi untuk belajar.

Manakala milk fat globule membrane atau MFGM pula adalah nutrien yang membantu menyokong perkembangan kognitif dan kesihatan anak 7.

Melalui penyelidikan yang dilakukan pada 182 kanak-kanak prasekolah, pemberian susu yang diperkaya dengan MFGM dapat mengurangkan masalah kesihatan melibatkan saluran usus serta jangkitan lain 8.

Fokus utama kajian adalah kepada kuantiti hari dengan demam, cirit-birit, batuk atau sembelit.

Hasil kajian memperlihatkan, kanak-kanak yang mengambil susu formula yang diperkaya dengan nutrien ini dilaporkan mempunyai episod demam yang lebih sedikit 7 berbanding kanak-kanak yang diberikan susu biasa.

Tip Belajar Paling Penting - Usah Memaksa

Walau apa pun cara yang dilakukan untuk meningkatkan motivasi anak belajar, elakkan daripada memaksa. Cubalah tip belajar yang dikongsikan ini, supaya dapat mengembangkan tabiat pembelajaran yang lebih baik pada anak.

Fokus untuk menjadikan pembelajaran sebagai pengalaman positif agar anak berasa seronok setiap kali tiba waktu belajar walaupun hanya di rumah.

 

REFERENCES:

1. How Parent Involvement Leads to Student Success (2018). Retrieved July 29, 2020 from:
https://www.waterford.org/education/how-parent-involvment-leads-to-student-success/

2. Preparing To Learn From Home (2020). Retrieved July 29, 2020 from:
https://www.education.vic.gov.au/school/teachers/teachingresources/Pages/coronavirus-lessons-from-remote-learning.aspx

3. Why Kids Who Learn and Think Differently Need to Stay Motivated. Retrieved July 29, 2020 from:
https://www.understood.org/en/friends-feelings/managing-feelings/feeling-victimized/the-importance-of-staying-motivated-for-kids-with-learning-and-thinking-differences

4. Motivating the unmotivated student (2014). Retrieved July 29, 2020 from:
https://www.greatschools.org/gk/articles/motivating-the-unmotivated-student/

5. Omega-3 Fatty Acids (2019). Retrieved July 29, 2020 from:
https://my.clevelandclinic.org/health/articles/17290-omega-3-fatty-acids#

6. The Relationship of Docosahexaenoic Acid (DHA) with Learning and Behavior in Healthy Children: A Review (2013). Retrieved July 29, 2020 from:
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3738999/

7. Milk fat globule membrane (INPULSE) enriched formula milk decreases febrile episodes and may improve behavioral regulation in young children (2012). Retrieved July 29, 2020 from:
https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/22305534/#

8. Prevention of allergic disease in childhood: clinical and epidemiological aspects of primary and secondary allergy prevention (2004). Retrieved July 29, 2020 from:
https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/15125698/