perkembangan emosi kanak-kanak, mengawal emosi, mengawal emosi anak, emosi kanak-kanak, jenis emosi kanak-kanak, emosi anak

Pastinya para ibu pernah berdepan situasi anak anda ketawa, menangis mahupun merengek, kan? Ia aspek perkembangan emosi kanak-kanak yang baik, tapi ibu bapa ada tugas untuk membantu mereka mempelajari perihal mengawal emosi.

Fahami perkembangan emosi kanak-kanak

Apabila bergelar ibu, sudah tentu anda pernah berdepan situasi di mana emosi anak cepat berubah. Dalam tengah bergembira, tanpa angin dan ribut, si kecil boleh menangis atau merajuk. Sepantas kilas mood mereka boleh bertukar!

Adakalanya apa yang dirasai anak akan disertai dengan perbuatan seperti mencium pipi atau memeluk. Ia adalah cara mereka menzahirkan rasa kasih sayang.

Umumnya, kanak-kanak pada zaman sekarang mudah menunjukkan emosi mereka dengan jelas. Jadi adalah penting untuk para ibu bapa memahami tentang perkembangan emosi kanak-kanak.

Pasti ada yang bertanyakan, kenapakah perlu untuk mempelajari tentang aspek perkembangan anak tersebut?

Jawapannya mudah, jika anda faham mengenai jenis emosi kanak-kanak yang ditunjukkan, sudah pasti anda akan mengetahui kaedah membantu anak dalam mengawal emosi tersebut dengan cara yang mudah.

Ciri perkembangan emosi kanak-kanak

Perkembangan emosi adalah kemampuan untuk merasai dan menyatakan perasan 1 seperti rasa marah, tidak puas hati, kebencian, ketakutan, kasih sayang, suka mahupun kebahagiaan.

Ia merupakan keupayaan untuk membezakan apa yang dirasai, mengekspresikannya dan mengawal emosi apabila berhadapan dengan situasi yang berbeza.

Perkembangan emosi yang baik dapat membantu mewujudkan perasaan positif serta rasa hormat pada diri.

Malahan, aspek perkembangan ini juga melibatkan pembangunan sosial kanak-kanak yang menggabungkan perkembangan mental, emosi dan sosial menjadi satu kumpulan.

Seperti anda ketika kecil dahulu, anak juga akan belajar meluahkan apa yang dirasai mereka dengan jujur walaupun ia tidak dilafazkan melalui kata-kata.

Bercakap mengenai perkembangan emosi kanak-kanak, sebagai ibu bapa anda perlu bersedia untuk melihat mereka dalam keadaan gembira, marah, sedih mahupun takut.

Ia biasanya akan ditunjukkan dengan tindakan melompat, memeluk, bertepuk tangan, menjerit, menangis atau melemparkan barangan.

Oleh kerana itu, adalah penting untuk anda membantu mereka mengawal emosi dengan cara yang lebih baik

Perbezaan jenis emosi kanak-kanak yang ditunjukkan

Setiap anak adalah berbeza dan mempunyai keunikan mereka yang tersendiri. Pun begitu, berikut adalah emosi umum bagi seorang kanak-kanak:

#Bahagia

Apabila anak berada dalam emosi suka, mereka akan menyatakannya dengan pelukan, senyuman dan ketawa.

Mereka juga akan mempunyai keinginan untuk berada dekat dengan individu atau barangan yang disayangi seperti anak patung, bantal atau selimut.

#Jenis emosi kanak-kanak: Gembira

Sekiranya mereka dalam emosi seronok, mereka akan menzahirkannya melalui tingkah laku seperti bertepuk tangan, tersenyum, ketawa, melompat, memeluk dan sebagainya.

#Marah

Jika si manja berada dalam emosi marah, seperti barangan mainan dirampas oleh kanak-kanak lain, biasanya mereka akan meluahkan perasaan tersebut melalui perbuatan memukul, menggigit mahupun mengejek.

Apa yang dikhuatiri, sekiranya tingkah laku memukul itu melibatkan perbuatan yang terlalu agresif sehingga menyebabkan kecederaan pada individu lain. Oleh sebab itu, pentingnya untuk anak tahu mengawal emosi mereka.

#Takut

Perasaan takut yang dialami boleh melibatkan persekitaran, individu atau khayalan mereka. Kebiasaannya ia adalah emosi anak yang normal untuk dirasai.

Si kecil mungkin akan berasa takut dengan individu yang tidak dikenali, kawasan yang gelap, dan khayalan mengenai hantu.

#Cemburu

Jangan tak percaya, kanak-kanak juga mempunyai rasa cemburu. Biasanya jenis emosi kanak-kanak ini berlaku apabila kehadiran adik-beradik atau apabila si ibu mendukung anak kecil lain.

Mereka akan menzahirkan rasa cemburu ini sama ada melalui kemarahan, tingkah laku seperti menghisap jari atau buang air kecil di katil pada waktu malam.

#Jenis emosi kanak-kanak: Kesedihan

Apabila anak berasa sedih atas kehilangan sesuatu yang disayangi atau benda penting seperti barang mainan, ia akan dinyatakan dengan tanda-tanda kemurungan, enggan bermain atau tidak mahu makan.

Manfaat kanak-kanak belajar mengawal emosi

Menurut Profesor Madya Psikologi Kolej St. Olaf, Grace Cho, sekiranya seorang kanak-kanak mempelajari cara untuk mengekspresi emosi serta perasaan dengan tepat,2 mereka mungkin mempunyai keupayaan untuk mengawal emosi dengan baik.

Bukan sekadar itu, kanak-kanak dengan kebolehan mengawal perasaan dan emosi juga dikatakan akan mempunyai keperibadian ceria, tegas, dan ada rasa simpati pada individu lain.

Kelebihan lain bagi anak dengan keupayaan pengurusan emosi yang baik adalah mereka akan dapat menghadapi masalah dan menyelesaikannya dengan cara yang terbaik.

Paling penting, kanak-kanak ini akan membesar menjadi individu yang patuh pada peraturan dan undang-undang, bukankah ia sesuatu yang bagus?

Mengendalikan perkembangan emosi kanak-kanak

Jadi bagaimana cara terbaik untuk membantu anak mengawal perasaan dan emosi mereka?

Jika berdepan situasi jenis emosi kanak-kanak yang sedang tantrum atau mengamuk, peluklah mereka. Pandang ke dalam matanya dan gunakan kelembutan seorang ibu untuk menenangkannya.

Anda juga boleh membantu si kecil untuk belajar cara mengawal dan menjaga emosi dengan membawanya bersosial dengan kanak-kanak yang sama usia dengannya3.

Tindakan tersebut membolehkan mereka belajar bagaimana untuk bersama individu lain serta mematuhi peraturan berkumpulan, menunggu giliran, berkongsi dan lain-lain.

Sekiranya mengalami keadaan anak tidak mahu mengikut kata-kata anda, elakkan daripada terus melabel mereka sebagai degil. Sebaliknya, alihkan perhatian atau berikan mereka pilihan.

Misalannya, kalau anak enggan menyimpan mainan setelah bermain, ajaklah mereka untuk mengumpul mainan bersama atau katakan kepada si kecil, jika mainan dikemas kembali, anda akan membaca buku cerita dengannya.

Pada dasarnya pemilihan perkataan adalah penting. Biarkan mereka merasakan seperti diberikan pilihan dan bukannya kehilangan kebebasan.

Walau bagaimanapun, perkara paling mustahak dalam perkembangan emosi kanak-kanak ini adalah ibu bapa perlu banyak bersabar dengan kerenah si kecil.

 

 

REFERENCES:

1. What Is Social And Emotional Development. Retrieved 23 July 2020 from:
https://helpmegrowmn.org/HMG/HelpfulRes/Articles/WhatSocialDev/index.html

2. Researchers Examine The Importance Of Emotional Development (2015). Retrieve 23 July 2020 from:
https://wp.stolaf.edu/news/st-olaf-researchers-examine-the-importance-of-emotional-development

3. Promoting Young Children’s Social And Emotional Health (2018). Retrieved 23 July 2020 from:
https://www.naeyc.org/resources/pubs/yc/mar2018/promoting-social-and-emotional-health